Input your search keywords and press Enter.

Terima Secara Terbuka Kerajaan Perpaduan

M Update, 07/12/2022 – Di sebalik pelbagai reaksi pelantikan jemaah menteri pada Jumaat lepas, hakikatnya kerajaan perpaduan yang terbentuk adalah langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik dan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.

Bertitik tolak daripada hasrat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerajaan perpaduan itu dilihat sebagai jalan rintis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mewujudkan sebuah kerajaan kuat dan stabil bagi mengelakkan situasi ketidakstabilan politik berlaku lagi sepertimana penggal lepas.

Biarpun begitu, langkah diambil Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ini ketika mengumumkan jemaah barisan menteri kabinetnya seramai 28 orang itu dan disifatkan banyak pihak ‘berwajah Malaysia’ sudah menimbulkan pelbagai reaksi positif dan sebaliknya walaupun telah memasuki hari kelima pelantikannya.

Dua jawatan yang menjadi tumpuan dan perbualan pelbagai lapisan masyarakat ialah jawatan menteri kewangan yang dipegang perdana menteri dan juga jawatan timbalan perdana menteri yang diberikan kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pelantikan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilihat memberi imej negatif kepada kerajaan perpaduan berikutan pertuduhan mahkamah membabitkan kes rasuah yang sedang dihadapinya, manakala Anwar dikatakan tidak wajar untuk perdana menteri memegang portfolio menteri kewangan.

Mengulas mengenainya, penganalisis politik Prof Dr Azmi Hassan berpendapat adalah tidak wajar mempersoalkan tindakan Anwar dalam pembentukan barisan kabinetnya memandangkan Kabinet kali ini adalah berbeza dan sukar sekali gus memerlukan sokongan jajaran parti lain dalam membentuk kerajaan.

Keadaan ini, menurut Azmi, menuntut Anwar mengambil kira sokongan yang bukan sahaja dalam kalangan PH tetapi juga gabungan parti lain dalam pelantikan jemaah menterinya walaupun beliau pada dasarnya mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja yang dirasakan layak dalam membantunya mentadbir negara.

“Anwar terpaksa meneliti beberapa faktor (pelantikan barisan menteri) dan pembahagian jawatan ini penting untuk beliau menghalusi sewajarnya memandangkan ia asas penting kerjasama dengan pelbagai parti dalam menjamin kestabilan politik negara,” kata Azmi kepada Bernama.

Kerana itu, Azmi berkata, semua pihak perlu menerima hakikat akan situasi pentadbiran negara ketika ini serta menghentikan segala suara ketidakpuasan hati memandangkan pembentukan kerajaan perpaduan ini juga hasrat Seri Paduka Baginda.

Malah, Azmi yang juga Geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berpandangan adalah tidak mustahil sekiranya langkah pembentukan kerajaan perpaduan itu tidak diambil negara berkemungkinan hingga kini masih lagi dalam kemelut politik dan tidak mempunyai kerajaan.

“Dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda, maka tertubuhlah apa yang dikatakan kerajaan perpaduan atau sesetengah pihak memanggilnya kerajaan campuran dan menerusi langkah ini, kita melihat Anwar dan parti politik yang bekerjasama melakukan pengorbanan besar dan ini harus diterima rakyat.

“Saya pasti rakyat akan menghargainya juga kerajaan ini sebaik jemaah menteri melaksanakan tugas-tugas mereka,” katanya.

Sementara itu, pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, biarpun dalam Perlembagaan Persekutuan tiada kategori kerajaan perpaduan, namun kerajaan yang dibentuk kali ini menggambarkan hasrat kerajaan baharu dalam mengukuhkan lagi perpaduan kaum dan juga perpaduan dalam kabinet pimpinan Anwar.

“Dalam perlembagaan, penubuhan kerajaan adalah berasaskan sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat… Jadi, selagi perdana menteri mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat, maka ia sah untuk ditubuhkan,” katanya.

Bagi pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, beliau berpandangan masyarakat seharusnya memahami landskap politik negara berubah mengikut keadaan semasa dan perlu menerima dengan hati terbuka. – Harian Metro