M Update, 14/7/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) permohonan kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata penambahbaikan membabitkan tempoh pemprosesan yang lebih singkat bagi permohonan lengkap yang diterima bermula tahun ini.
“Penambahbaikan SOP berkenaan adalah berdasarkan kepada pematuhan syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 serta mengambil kira pelbagai aspek termasuk kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada,” katanya.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung pelan kerajaan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses mendapatkan status kewarganegaraan untuk anak tanpa kad pengenalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah berkata, kelahiran di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan secara automatik.
“Kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung sewaktu kelahiran berlaku, selaras peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964.
“Ia juga membabitkan perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga yang bertaraf ‘belum ditentukan’ atau bukan warganegara supaya bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal bagi mengelak disalah anggap tidak memiliki kewarganegaraan dari mana-mana negara. – BH Online