M Update, 15/7/2020 – Polis menahan lelaki yang memuat naik komen mempersenda keputusan kerajaan memilih Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata tangkapan dilakukan di dua lokasi berbeza semalam dan hari ini.
“Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun itu ditahan di Tanjung Rambutan, Perak dan Butterworth Pulau Pinang. Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, polis menerima satu laporan polis dibuat di Kluang, Johor berhubung komen netizen mempersenda hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 10 Julai lalu.
Keputusan kerajaan itu kata Zulkifli adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekal dan memperkasa tradisi dan kebudayaan membentuk Malaysia sehingga hari ini. – BH Online