Input your search keywords and press Enter.

KEPENATAN PANDEMIK

Oktober bukan tragedi. Walaupun tiba-tiba kes jangkitan baharu COVID-19 meningkat ianya berlaku sebahagian besar dalam lokaliti yang sudah terhad kawalan pergerakannya. Terutama di balik tembok penjara yang sekatan keluar masuk amat ketat. Di lokasi dikenakan PKP Diperketat Bersasar pula, sekatan rentas daerah yang dikenakan menyebabkan risiko penularan juga dapat dikawal dengan lebih baik. Usaha berterusan pasukan hadapan ini kita sentiasa sanjung dan hargai. Jangan lupa, mereka telah berterusan berjuang memelihara kita. Jerih dan letih mereka suatu kepenatan berterusan yang masih berkunjung dan tiba setiap masa.

Namun ia tetap tidak dapat membendung keresahan dan kegelisahan masyarakat. Sudah berbulan-bulan masih belum selesai cerita COVID-19. Sudah berbulan-bulan tiada satu hari pun tiada kes baharu. Baik kes tempatan mahupun kes import. Setiap hari pasti dilaporkan pelanggaran SOP. Pemimpin dan rakyat makin tiris toleransi untuk berkomunikasi mencari solusi. Sindiran, salah menyalah, tuduh menuduh lebih kerap menjadi tulisan di media sosial. Walhal sikap menafikan silap diri sendiri yang perlu ada akauntabiliti dalam setiap tindakan dan ucapan tidak diendahkan. Hakikatnya kita masih belum menang. Hakikatnya segala sumber dan tenaga negara telah dan sedang digerak untuk melawan wabak. Petugas barisan hadapan kembali hilang waktu rehat untuk diri dan masa kualiti bersama keluarga serta yang tersayang, demi perjuangan mempertahankan khalayak. Ini semua natijah dari peningkatan kembali penularan wabak. Sikap diri sendiri tidak akan dipersalahkan adalah ego yang memenjara tidak mengira pangkat dan darjat. Semua ada saham kepada berlakunya kemunculan kembali musuh tidak kelihatan ini. Menunjuk kesalahan orang lain setiap kali berlaku musibah menafikan diri kita juga ada sikap dan perilaku yang tidak membantu usaha pencegahan. Penafian atas kebertangunggjawaban ini kalau terlekat pada individu dan diamal berulang kali ia akhirnya menjadi rutin peribadi. Apabila semua mempertahan rutin peribadi dan menafikan salah sendiri, maka ego tidak mengaku berbuat salah lebih besar usaha dan ikhtiarnya, berbanding usaha mencegah penularan wabak. Tidak kah kita semua berasa penat dengan situasi ini.

Hero Negara acap kali memperingatkan, ini bukan masa untuk mencari salah. Ini bukan masa menuding jari. Ini masa untuk kita bersama sepakat dan kembali istiqamah melawan wabak sebagai satu pasukan. Pasukan Malaysia. Dari membazir tenaga menuding jari, dari menggembeling usaha membantai kelompok yang tidak sebaris dengan kita, dari memacu gerakan yang hanya memperjuang agenda sekelompok berkepentingan, adalah lebih baik kita berganding tenaga dan usaha untuk kembali mendatarkan keluk penularan. Bertelagah tiada penghujung itu membosankan. Lebih baik tenaga dan buah fikiran cerdik pandai yang rancak menulis di paparan telefon bimbit itu di terjemahkan kepada daya usaha realistik yang memberi kesan dalam perjuangan melawan wabak. Penat kita melihat dan terjebak dengan pelbagai kelompok yang ghairah membantai, menyindir dan menghukum sesama sendiri. Asal bukan kelompok sama, pembantaian, sindiran dan mejatuhkan hukuman dilakukan dengan rancak dan gembira. Ini semua tidak menyumbang apa-apa kepada usaha melawan wabak dan memulihkan negara. Kita harus kembali sedar dan mengaku silap diri dan kumpulan kita hingga berlakunya peningkatan kembali wabak COVID-19 dalam komuniti. Dari membuang masa membuat dosa mengata lebih baik kita muhasabah dan perbaiki tindakan serta sikap. Baik sikap diri mahupun sikap kelompok sendiri agar kembali di jalan yang lurus untuk memulihkan negara. Bertelagah itu memenatkan. Apa lagi pertelagahan itu sebenarnya dikalangan ahli pasukan yang sepatutnya bersama dalam perjuangan melawan COVID-19.

Jalan memulihkan negara masih jauh dan berliku. Masih ramai yang mencongak dari sumber mana beras akan tiba untuk ditanak. Masih ramai yang terkekang untuk bergerak mencari rezeki demi sesuap nasi bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk ahli keluarga yang masih belum mengerti. Betapa ramai yang semakin tipis ketahanan diri kerana terhimpit dengan pelbagai kendala dan kekangan yang membentes pergerakan untuk kembali bangkit berlari. Ramai yang diatas pinggan nasi suku, kicap suku dan garam suku bukan kerana diet, tetapi kerana tiada apa lagi yang ada untuk dinikmati. Ramai yang masih mengharapkan tawaran kerja baharu setelah berbulan tiada sumber pendapatan. Ramai yang berusaha mencari sumber kelangsungan hidup tetapi masih belum sampai rezeki yang dihajati. Ramai yang membantu sesama khalayak juga semakin tiris bahan dan modal untuk terus membantu. Walau mereka juga sudah penat, namun pilihannya tiada. Lebih baik penat dari putus harapan untuk meneruskan kehidupan.

Justeru, kepenatan akibat kekangan meneruskan kehidupan ini adalah benar. Kepenatan bertelagah tidak bertepian ini adalah benar. Kepenatan ketidak patuhan SOP juga benar. Kepenatan memastikan kita semua kekal bersama sebagai suatu Pasukan Malaysia adalah benar. Kepenatan petugas barisan hadapan mempertahankan rakyat adalah benar. Maka sememangnnya kepenatan akibat pandemik ini adalah benar. Maka walaupun pahit dan pedih, hakikatnya kita semua perlu hadapi situasi ini. Kembali istiqamah memulihkan negara. Kembali bersemangat melawan penularan wabak. Kembali bertoleransi, berintegriti dan bertanggungawab dalam setiap usaha memulihkan negara. Negara kita tanggungjawab kita bersama. Jangan kita penat untuk bekorban demi negara dan untuk kita semua rakyat Malaysia yang menumpang kasih bernaung di bawahnya.

Ibnu Muhsin

7 Oktober 2020