Input your search keywords and press Enter.

KKM Mohon 1,899 Petugas Kesihatan Kontrak Tambahan

M Update, 12/10/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi melantik seramai 1,899 petugas kesihatan secara kontrak.

KKM juga mengambil langkah proaktif dengan mobilisasi petugas kesihatan sedia ada dari negeri dan kemudahan kesihatan tertentu bagi membantu negeri atau kemudahan kesihatan yang memerlukan tambahan sumber manusia kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata permohonan itu dihantar pada 9 Okt bertujuan menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tempoh penularan wabak COVID-19. Antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu tadbir (perkeranian/operasi dan kewangan).

Petugas berkenaan akan ditempatkan di kemudahan kesihatan seperti hospital, klinik kesihatan, makmal, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC). Selain itu, mereka juga akan ditempatkan di stesen kuarantin di seluruh negara dan ditugaskan di pintu masuk antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agar urusan keluar dan masuk di pintu-pintu masuk antarabangsa dapat diuruskan dengan lebih lancar dan berkesan.

Permohonan ini selaras dengan persetujuan kerajaan agar Kementerian Kesihatan dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan kepada 2,000 lantikan secara kontrak seperti diluluskan oleh kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini.