Input your search keywords and press Enter.

Sesi Persekolahan Sekolah Seliaan JAIS Di Daerah Petaling Ditangguh Mulai Hari Ini

M Update, 12/10/2020 – Sesi persekolahan semua sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Daerah Petaling ditangguh mulai hari ini sehingga 25 Okt susulan peningkatan kes COVID-19, kata Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad.

Sepanjang tempoh penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka itu, semua pengetua, guru besar dan ketua guru hendaklah memastikan guru-guru serta pelajar melaksanakan pengajaran serta pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian.

Dalam hal ini, JAIS sentiasa memantau situasi di Selangor dan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua janji temu majlis akad nikah yang dijadual dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang yang dibuat sebelum atau pada 7 Okt  ditangguhkan berkuat kuasa serta merta mulai hari ini. Penangguhan itu melibatkan janji temu pasangan dari Zon Klang dan Zon Kapar.

Keputusan ini dibuat berikutan penangguhan semua aktiviti masjid dan surau oleh JAIS melibatkan seluruh Daerah Klang pada 7 Okt  dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Jumaat (9 Okt).

Semua janji temu akad nikah individu terlibat di PAID Klang akan dijadualkan semula. Sebarang perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan majlis akad nikah bagi Daerah Klang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.