M Update, 20/11/2020 – Banduan yang memakai kelengkapan perlindungan diri diambil bekerja dengan upah AS$2 (kira-kira RM8) sejam untuk memindahkan mayat dari bilik mayat yang sesak di sini ke dalam treler sejuk beku.
Dengan memakai sarung tangan, pelitup muka dan kaca mata pelindung, semua banduan itu memindahkan mayat ke dalam treler sejuk beku ke dalam enam treler yang diparkir di luar pejabat pemeriksa perubatan.
“Sekiranya tiada orang yang dapat menolong, walaupun mereka adalah banduan tidak mengapa kerana itu sahaja yang kita ada,” kata Hakim Daerah El Paso, Ricardo Samaniego kepada sebuah stesen TV tempatan.
Wabak ini menimbulkan malapetaka di bandar-bandar besar dan kecil di Texas dan di seluruh AS tetapi El Paso dilanda lebih teruk. Dengan sekitar 680,000 penduduk, ia kecil berbanding Houston, San Antonio dan Dallas, namun satu dari setiap enam warga Texas yang dirawat di hospital oleh Covid-19 dirawat di El Paso.
Kira-kira 1,050 pesakit Covid-19 di bandar ini mengambil kira-kira separuh katil di hospital yang penuh sesak. Kes Covid-19 di El Paso meletus dan meningkat 242 peratus hanya dalam dua bulan. Pada hari Rabu, dilaporkan lebih daripada 77,000 kes positif Covid-19 dengan 804 kematian.
Pakar perubatan mengatakan kadar positif ujian Covid-19 yang berada dalam kedudukan lima peratus atau lebih tinggi adalah membimbangkan, manakala El Paso sudah melebihi tahap itu iaitu pada 19 peratus.
El Paso dikenali sebagai antara bandar Amerika Syarikat paling selamat setahun lalu kini mempunyai kisah ngeri dan tragedi akibat wabak pandemik itu. Ada yang mengatakan bahawa El Paso memerlukan langkah yang lebih tegas dalam menangani wabak itu.
Sumber: HM Online