Input your search keywords and press Enter.

Pasukan Gerakan Udara PDRM Sabah Bantu Pantau Pematuhan SOP PKPB Menggunakan Dron

M Update, 2/12/2020 – Pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bukan hanya dijalankan di laut dan darat tetapi juga dari udara dengan menggunakan dron oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Komander PGU Sabah ACP Ahmad Lokman Abd Hadi berkata sehingga kini lebih 50 operasi yang dikenali sebagai operasi COVID-19 telah dijalankan Unit Dron itu sejak ia ditubuhkan pada Mac lepas termasuk membantu pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar memantau kawasan daerah berkenaan.

“Pemantauan (dron) bergantung kepada keperluan pihak IPD atau jabatan yang memohon dan biasanya pemantauan dijalankan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di pasar awam, hentian stesen bas, pasar raya dan kawasan perumahan yang mempunyai kekangan keanggotaan untuk dipantau, selain jalan keluar dan masuk di sesuatu kawasan itu mungkin sukar dilalui,” katanya kepada Bernama.

Katanya berdasarkan maklum balas daripada IPD, pemantauan pematuhan SOP menggunakan dron amat berkesan dalam memastikan penduduk atau penghuni sesuatu penempatan sentiasa patuh kepada SOP.

Ahmad Lokman berkata dron itu bukan hanya merakam gambar tetapi juga turut membuat hebahan menggunakan bahasa tempatan seperti bahasa Bajau melalui alat pembesar suara yang terdapat pada dron berkenaan sekali gus menarik perhatian penduduk untuk mendengar maklumat yang disampaikan.

Katanya, setiap dron itu akan diterbangkan pada ketinggian antara 30 meter hingga 121 meter (100 kaki hingga 400 kaki) seperti yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (Malaysia Civil Aviation Regulation 2016) (MCAR) iaitu mengikut ketinggian yang dibenarkan untuk dron beroperasi.  

Jelasnya, tempoh masa penerbangan setiap dron bergantung kepada keperluan pengoperasian di sesuatu kawasan, namun kebiasaannya mengambil masa 20 hingga 30 minit dengan dikendalikan seorang juruterbang dan dibantu tiga anggota lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Lokman berkata ketika ini, Unit Dron PGU Sabah hanya mempunyai empat dron yang dikendalikan lapan pegawai serta lapan anggota, dan setiap operasi hanya menggunakan satu dron manakala dron lain diletakkan dalam keadaan siap siaga.

Empat jenis dron berkenaan ialah Dji Phantom 3 Professional; Dji Inspire 1; Dji Mavic 2 Enterprise Zoom dan Dji Mavic 2 Enterprise Dual dan sebuah Jammer iaitu Orion 7 MP yang digunakan untuk menghalang dron lain daripada menceroboh kawasan larangan mahupun kawasan kediaman orang kenamaan.

“Sekarang ini kita lebih fokus kepada permintaan (memantau) kerana permintaan dilihat semakin meningkat. Bagaimanapun sekiranya tiada permintaan dalam tempoh tertentu atau kurang permintaan, kita akan pastikan semua juruterbang menjalankan latihan secara berterusan,” katanya sambil menjelaskan unit dron berkenaan mendapat latihan dari Unit Dron PGU Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Menurutnya PGU mengalu-alukan permohonan dari agensi atau jabatan kerajaan untuk mendapatkan khidmat Unit Dron PGU boleh dimajukan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah untuk kelulusan. – BERNAMA