M Update, 3/12/2020 – Meskipun dilahirkan separa buta, Choo Kam Chan yang berazam tidak lagi mahu membebankan ibu bapanya, berusaha bangkit dan bersemangat kental untuk terus menjalani kehidupan normal, sekali gus mengecapi pelbagai kejayaan dalam sukan boling.
Choo, 45, yang telah memenangi pelbagai pingat dalam kejohanan sukan paralimpik untuk Malaysia berkongsi rahsia kejayaanya bahawa kecekalan dan azam yang tinggi dan berusaha menjalani kehidupan normal, menjadi faktor kejayaannya itu.
Sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa hari ini, Choo, insan OKU berjaya membutikan bahawa kecacatan bukanlah penghalang bagi seseorang itu berusaha menggapai impian dalam hidupnya, asalkan mempunyai cita-cita dan keyakinan dalam diri.
“Ketika berusia 17 tahun, saya dihantar bersekolah di sekolah khas Orang Kurang Upaya di Setapak dan disebabkan rumah saya di Jinjang (Selangor), saya terpaksa tinggal di asrama,”.
“Ibu akan menemani saya pulang ke asrama dan kami terpaksa menaiki dua bas yang memakan masa hampir dua jam untuk tiba di asrama dan ibu terpaksa pulang sendirian. Ketika inilah, saya memutuskan untuk berdikari dan tidak menyusahkan orang lain,” katanya.
Selepas menamatkan pengajiannya, Choo mencari pekerjaan untuk membantu kedua ibu bapanya, tetapi malangnya beliau berdepan pelbagai dugaan dan tidak diambil bekerja kerana kecacatan yang dialaminya.
“Peristiwa yang paling diingati sehingga hari ini ialah, saya pernah dikecewakan ketika memohon kerja sebagai pembantu kedai di sebuah premis perniagaan perkakasan di Brickfields.
“Walaupun saya faham alasan saya tidak diambil bekerja, namun saya sangat hiba kerana saya benar-benar ingin membantu ayah dan ibu menyara keluarga kami,” katanya sambil menambah bahawa selepas peristiwa itulah, beliau mendapat pekerjaan sebagai tukang urut.
Bercerita lanjut kisah hidupnya, Choo berkata kejohanan sulung boling profesional yang disertainya ialah Kejohanan Tenpin Boling Dunia Persekutuan Sukan Cacat Penglihatan Antarabangsa (IBSA) 1999 di Singapura.
“Saya menaiki kereta api dan bas sendiri dari Brickfields (tempat kerja sebagai tukang urut) ke Singapura. Ketika itu, saya tidak mewakili Malaysia kerana belum pernah ada orang cacat penglihatan bertanding dalam sukan boling.
“Kejohanan tersebut menjadi kenangan terindah buat saya apabila muncul juara dalam acara perseorangan lelaki,” katanya sambil menambah sejak kejadian itu, beliau terus mara.
Lantas, Choo sering mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan boling, termasuk kejuaraan IBSA di England dan seterusnya mewakili Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) sebelum beliau direkrut oleh Majlis Sukan Negara (MSN) pada 2006.
Sejak itu, Choo banyak meraih pingat emas untuk negara dalam pelbagai kejohanan Sukan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Timur Jauh dan Pasifik Selatan (FESPIC) 2006 di Kuala Lumpur, Sukan Asia 2010 di Guangzhou dan kejohanan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.
Selain pingat emas, Choo juga memenangi pingat perak dan gangsa dalam pelbagai kategori lain.
Choo, yang sedang menunggu pembaharuan kontraknya untuk mewakili negara, menzahirkan kekecewaannya berikutan pembatalan Sukan Para ASEAN (APG) 2020.
“Pasukan kami telah berlatih dengan bersungguh-sungguh sejak tahun lepas, sangat menyedihkan apabila perkara ini terjadi,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan terus berlatih untuk kejohanan yang seterusnya, sambil menguruskan perniagaan rumah urut di Jalan Tun Sambanthan di sini.
Perniagaan Choo yang dikenali sebagai Relax Two Traditional Blind Massage, turut dibantu oleh empat kakitangan, yang juga dalam kalangan orang cacat penglihatan.
“Saya mewujudkan rumah urut ini sebagai mengenang jasa mereka yang memberi saya peluang hidup dengan mengajar cara mengurut dan memberikan pekerjaan sekali gus memperoleh pendapatan.
“Tanpa semua ini, saya mungkin tidak dapat ke Singapura sekiranya saya tidak mempunyai wang simpanan hasil titik peluh sebagai tukang urut ketika itu,” jelas beliau.