Input your search keywords and press Enter.

MAQIS Merampas 280 Paket Durian Musang King Di KLIA

– Gambar Hiasan –

M Update, 4/12/2020 –  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports menahan seorang warga tempatan dan merampas 280 paket durian musang king seberat 126 kilogram (kg), jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin, berkata 280 paket durian yang dianggarkan bernilai RM22,400 itu dimuatkan dalam tujuh bagasi dipercayai cuba dibawa ke Riyadh, Arab Saudi.

“Semua durian itu dirampas kerana tiada permit eksport dan sijil fitosanitasi yang sah.

“Perbuatan mengeksport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3), di bawah Akta sama, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

MAQIS katanya, sentiasa mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.