M Update, 4/12/2020 – Seorang bayi lelaki berusia setahun maut dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya, di Taman Nusa Intan, Senawang di sini, pagi tadi.
Kejadian jam 4.30 pagi itu disedari Md Zarif Md Johari, 36 dan isteri, Zurriyati Ishak, 29, apabila terdengar bunyi batuk anaknya itu, Zulkarnain.
Menurutnya, ketika kejadian anak bongsu daripada lima beradik itu sedang tidur di atas katil bersamanya suami isteri.
“Bila saya bangun saya tengok dia dah muntah susu dan bibirnya biru. Saya cuba tepuk belakang badan tapi tidak bernafas lagi.
“Saya dan isteri kemudian segera membawanya ke hospital swasta berhampiran. Sebaik sampai, pihak hospital cuba memberikan bantuan pernafasan, namun mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku, di sini, hari ini.
Menurutnya, Allahyarham baru sahaja keluar dari hospital semalam, selepas ditahan di wad, pada Rabu lalu kerana alami demam yang berulang-ulang dan tiada selera makan.
Katanya, Allahyarham dibenarkan keluar dari hospital petang semalam dan laporan perubatan mendapati dia berada dalam keadaan baik.
“Saya reda dengan ketentuan Allah. Tapi sedih kerana saya dan isteri baharu saja menyambut hari lahir arwah bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.