Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Tak Akan Hadapi Masalah Ekonomi Seperti Sri Lanka

M Update, 25/07/2022 – Bank Negara Malaysia (BNM) menolak tanggapan, bahawa negara akan berhadapan malapetaka ekonomi seperti yang dialami Sri Lanka.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, menegaskan yang situasi ekonomi Malaysia dan Sri Lanka amat berbeza, malah jika dilihat dari segi kedudukan luaran dan asas ekonomi, ternyata keadaan Malaysia ternyata jauh lebih kukuh.

Beliau menjelaskan, antara perbezaannya ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan rizab antarabangsa Malaysia lebih mantap serta inflasi yang lebih terkawal. Katanya, ada dua aspek yang sangat membezakan hutang Malaysia dan Sri Lanka, dengan yang pertama, pinjaman dalam mata wang asing oleh kerajaan adalah sangat kecil berbanding Sri Lanka.

“Dalam konteks ini (pinjaman dalam mata wang asing), sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan tertunggak adalah di dalam mata wang ringgit (97.5 peratus) dan hanya sebanyak 2.5 peratus adalah dalam mata wang asing.

“Aspek kedua pula ialah sektor kewangan Malaysia kukuh dan pasaran kewangan tempatan juga besar dan dalam. Justeru, risiko kejutan kewangan boleh kita hadapi dengan lebih baik,” katanya.

Gabenor bank pusat itu menjelaskan, ketika ekonomi negara terkesan akibat wabak COVID-19, bank berkeupayaan untuk membantu peminjam secara besar-besaran.

Terkini, walaupun keadaan ekonomi semakin pulih, beliau berkata, bank terus menyediakan bantuan pembayaran semula kepada peminjam yang memerlukannya sambil meningkatkan aktiviti pemberian pinjaman untuk menyokong pemulihan ekonomi.

Namun, katanya, terdapat beberapa pengajaran penting yang dapat dijadikan iktibar daripada krisis di Sri Lanka itu dengan antaranya Malaysia perlu mengekalkan kedudukan fiskal yang teguh dan mampan bagi membolehkan kerajaan membantu isi rumah yang terjejas pada waktu yang mendesak.

“Keperluan memelihara daya tahan luaran, termasuk memastikan penambahan hutang luar negeri, terutamanya hutang dalam mata wang asing, dibuat secara berhemat dan pinjaman yang diterima itu digunakan secara produktif.

“Kita juga perlu memastikan rizab antarabangsa berada pada tahap yang kukuh,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, negara juga perlu menekankan reformasi ekonomi agar sentiasa boleh berdaya saing dan memperbetulkan sebarang kelemahan sebelum ia membarah.

“Contohnya, memelihara institusi negara yang kukuh yang boleh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Malaysia berada pada landasan yang sedia baik, namun, tanpa pembaharuan, kita akan ketinggalan kerana pesaing kita telah meningkatkan ‘offering’ masing-masing,” katanya.

Dalam menangani cabaran pada masa hadapan, beliau berkata, pembaharuan struktur perlu diteruskan terutamanya melalui pewujudan pekerjaan yang berkualiti tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.

Katanya, pembaharuan itu akan meningkatkan daya tahan pekerja dan isi rumah yang lebih mampan pada masa hadapan.

Nor Shamsiah juga berkata, tindakan itu akan membantu perniagaan tempatan meningkatkan daya saing, memacu produktiviti dan mengurangkan kebergantungan negara yang berlebihan terhadap pekerja asing.

Katanya, terdapat juga keperluan mendesak untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dan menambah baik rangka kerja perlindungan sosial bagi menangani masalah dan kelemahan sedia ada dan memastikan daya tahan masyarakat untuk jangka panjang.

Mengenai prospek ekonomi untuk tahun ini, meskipun berhadapan dengan situasi mencabar susulan ketidaktentuan global, Nor Shamsiah berkata pihaknya menjangka ekonomi Malaysia bertambah baik, dengan unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

Pertumbuhan akan didorong oleh permintaan dalam negeri yang semakin kukuh dan permintaan luaran yang dijangka terus berkembang.

Ekonomi akan disokong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan perniagaan berikutan peralihan ke fasa endemik. Pelbagai data menunjukkan aktiviti ekonomi semakin rancak. Ini termasuklah data guna tenaga, perbelanjaan isi rumah, pengeluaran perindustrian serta perdagangan borong dan runcit.

“Tambahan pula, pembukaan semula sempadan antarabangsa, keadaan pasaran pekerja yang lebih baik dan pelaksanaan projek pelaburan menjangkau beberapa tahun ke hadapan juga akan meningkatkan kegiatan ekonomi,” jelas beliau.

Sumber: Berita Harian