M Update, 9/12/2020 – Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini, bagi pemantauan pakar.
Nur Amalina Norain, 25, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan bayi lelaki, ibu dan pembantu rumahnya pada Ahad lalu, dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim, 56 yang turut memberitahu keadaan menantunya bertambah baik tetapi pakar perubatan ingin terus memantau keadaan Nur Amalina.
Ahmad berkata, menantunya dipindahkan ke HKL kira-kira 6.30 pagi tadi dan mereka sekeluarga akan ke ibu negara bagi menziarahi serta memberi semangat kepada Nur Amalina.
“Selepas pembedahan, keadaan menantu saya bertambah baik dan stabil namun dia dipindahkan ke HKL kerana pakar mahu memantau keadaan kesihatannya dengan lebih lanjut.
“Kami sekeluarga bersama Syafiq akan ke HKL untuk bersama Nur Amalina hingga dia sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Nur Amalina dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) ke HSJ selepas mengadu sakit di bahagian perut dan belakang badannya kesan kemalangan itu.
Nur Amalina mengalami kecederaan patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut dan otak serta patah tulang peha kiri yang memerlukan pembedahan segera.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi Ahad lalu, Muhammad Syafiq yang memandu Toyata Vellfire dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya yang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang.
Turut menaiki kenderaan terbabit ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan dua anak pemain bola sepak itu Aaira Nur Saffiya, 2 dan Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.
Nahas terbabit mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan Titik.