M Update, 10/12/2020 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu dibaca Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini di pekarangan Istana Kinta.
Melalui kenyataan itu, Abd Rahim memaklumkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, sudah memberi perkenan kepada ADUN Kota Tampan itu sebagai Menteri Besar baharu.
Justeru, majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu akan berlangsung hari ini jam 11 pagi di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar.
Saarani, 59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkhidmat sebagai ADUN Kota Tampan selama empat penggal sejak 2004.
Beliau pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak terdahulu iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sebelum itu, beliau juga adalah ADUN Lenggong antara 1999 hingga 2004.
Beliau memiliki Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebelum melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Aezer Zubir yang juga seorang pesara guru dan mereka dikurniakan lapan cahaya mata.
Sepanjang perkhidmatan, Saarani disifatkan individu berpengalaman dan menyandang pelbagai kedudukan dalam kerajaan negeri.
Antaranya sebagai EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Sumber Manusia (Mei 2014 hingga Mei 2018); EXCO Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Mei 2013 hingga Mei 2014), EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan (Februari 2009 hingga Mei 2013), EXCO Pembangunan Luar Bandar, Industri Perladangan dan Komoditi (September 2006 hingga Mac 2008) serta EXCO Pembangunan Luar Bandar (Mac 2004 hingga September 2006).