Input your search keywords and press Enter.

Wang Saku Pelajar Orang Asli Dinaikkan Kepada RM5 -JAKOA

ORANG ASLI

M Update, 23/12/2020 – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang memperincikan cadangan untuk menaikkan wang saku pelajar Orang Asli daripada RM2 ketika ini kepada RM5, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Jakoa telah mengadakan bengkel garis panduan atau prosedur operasi standard dari 4 hingga 6 Dis lepas. 

“Selanjutnya Jakoa dalam proses mengangkat Nota Jemaah Menteri (NJM) ke kementerian dalam tempoh terdekat bagi pertimbangan jemaah menteri.

“Namun begitu, ini bergantung kepada kelulusan kadar oleh pihak Kementerian Kewangan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini, Senator Datuk Isa Ab Hamid dalam sesi perbahasan mencadangkan kadar wang saku pelajar Orang Asli dinaikkan daripada RM2 kepada RM10 sehari bagi menggalakkan kehadiran mereka ke sekolah, selain bertepatan dengan peningkatan kos sara hidup.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata Jakoa juga sedang meneliti cadangan untuk menyediakan reka bentuk khusus bagi rumah Orang Asli menggunakan bahan daripada sumber tempatan dengan kerjasama Lembaga Arkitek Malaysia.

Beliau berkata jika direalisasikan, cadangan itu dijangka dapat mengurangkan kos pembinaan sekali gus membolehkan lebih banyak rumah dibina bagi mempercepatkan penyediaan rumah kepada penduduk yang memerlukan.