Input your search keywords and press Enter.

Permohonan i-Sinar KWSP Berjalan Lancar

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

M Update, 24/12/2020 – Semua permohonan untuk kemudahan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuka pada Isnin lalu setakat ini berjalan lancar, sama ada secara digital atau fizikal.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bagi mereka yang layak dan maklumat tersedia di dalam pangkalan data KWSP, sistem akan memberi kelulusan secara automatik dengan keputusan pertama akan diketahui pada 4 Januari 2021.

“Bersabarlah sementara KWSP memproses permohonan yang diterima. InsyaAllah, bayaran pertama akan dibuat pada 11 Januari 2021,” katanya dalam laporan Laksana ke-34, semalam.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap inisiatif bantuan ini dapat mengurangkan beban aliran tunai rakyat seperti perbelanjaan permulaan persekolahan dan isi rumah.

Beliau berkata, selain skim khas KWSP itu, terdapat juga inisiatif penyaluran geran khas PRIHATIN (GKP 2.0) bagi rayuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lulus, di samping pelbagai program seperti subsidi upah, geran, pembiayaan, pinjaman mudah dan pelepasan cukai.

Permohonan i-Sinar KWSP merangkumi dua kategori kriteria kelayakan pemohon membabitkan lapan juta ahli.

Bagi pemohon yang tergolong dalam kategori 1, ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my.

Kriteria permohonan bagi kategori 1 membabitkan ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Selain itu, ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 turut boleh mengemukakan permohonan dalam kategori ini.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP.

Kategori 2 pula permohonan boleh dibuat bermula 11 Januari 2021 membabitkan ahli yang masih bekerja, namun mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan berkenaan hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu penyata gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.