M Update, 28/12/2020 – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan memastikan peruntukan kementerian itu digunakan sebaiknya termasuk bagi merancakkan sektor pertanian secara keseluruhan di Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Sabah adalah pengeluar makanan yang ketara dan keterhadapan di negara ini.
“Pembangunan infrastruktur dalam pertanian akan dapat memperlihatkan kerancakan industri ini di Sabah dalam tahun-tahun ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Krismas anjuran Majlis Gereja-Gereja Daerah Telupid di Kampung Bauto, di sini, malam tadi.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata ini selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk meneruskan pembangunan rakyat Sabah.
Katanya, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang seiring akan meletakkan Sabah di tahap pembangunan yang diinginkan oleh rakyat Sabah.
Sementara itu, Ronald berkata perubahan politik kini dengan kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus dilihat positif.
“Ia berlaku menerusi proses demokrasi dan menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk memastikan kepercayaan diberikan oleh rakyat di negeri ini diutamakan khususnya dalam aspek pembangunan,” katanya.
Ronald berkata sudah tentu beliau mahu melihat proses pembangunan di Sabah dapat direalisasikan dengan kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.