Input your search keywords and press Enter.

JKN Perlis Mohon Individu Dari Zon Merah Pulang Ke Perlis, Hubungi Pejabat Kesihatan

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim.

M Update, 30/12/2020 – Jabatan Kesihatan Negeri Perlis meminta individu dari zon merah yang  pulang ke negeri ini agar segera menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 di Pejabat Kesihatan Kangar untuk melakukan pemakluman, deklarasi kesihatan serta penilaian risiko terhadap mereka.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim berkata individu yang bergejala perlu segera ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapat rawatan, menjalani ujian COVID-19 dan diberikan arahan kuarantin.

“Jika gejala yang dialaminya adalah teruk, rujukan ke hospital akan dilakukan segera, manakala individu yang tidak bergejala dinasihatkan untuk menjalankan tanggungjawab sosial dengan menjalani kuarantin kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bermula 7 hingga 28 Dis, Bilik Gerakan COVID-19 telah menerima 468 panggilan telefon daripada individu yang masuk ke Perlis dari zon merah dan daripada jumlah itu, seramai 257 individu telah diarah menjalani kuarantin di rumah manakala 117 individu telah melakukan ujian saringan.

“Daripada jumlah keseluruhan individu yang telah dikenal pasti pulang ke Perlis dari zon merah, 70 peratus adalah individu yang pulang melawat keluarga di kampung manakala selebihnya atas urusan kerja dan melancong,” katanya.

Dr Sirajuddin berkata Jabatan Kesihatan percaya masih terdapat individu dari zon merah yang pulang ke Perlis tidak memberi makluman kepada Bilik Gerakan COVID-19.

Katanya rakyat Perlis yang juga diibaratkan sebagai barisan hadapan negeri perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan Perlis terus kekal berstatus hijau.

“Ketua keluarga hendaklah memantau status kesihatan diri dan keluarga. Pastikan ahli keluarga menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, menjaga penjarakan fizikal dan segera mendapatkan rawatan jika bergejala serta elakkan menerima kunjungan terutama melibatkan individu dari zon merah,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan juga meminta jawatankuasa penduduk digerakkan sebagai penyelaras aktiviti kawalan dan pencegahan dalam komuniti dengan ketua komuniti perlu sentiasa memberi motivasi kepada ahli komuniti agar lokaliti masing-masing terus kekal berstatus hijau.

“Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada aktiviti berkumpulan yang meragukan. Had dan rekodkan pergerakan keluar masuk penduduk setempat dan pelawat dari zon merah dan jika ada kes disyaki COVID-19, segera laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sehingga 12 tengah hari semalam, Perlis mencatatkan sejumlah 46 kes, 43 kes telah sembuh dan satu  kes (import B) masih dalam rawatan manakala jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal dua kes.