Input your search keywords and press Enter.

Kastam Tamatkan Pengeluaran Lesen Import Rokok Mulai Januari 2021

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

M Update, 30/12/2020 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menamatkan pengeluaran lesen import rokok bagi permohonan baharu bermula awal Januari 2021.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata pengimport rokok sedia ada masih dibenarkan membuat pembaharuan lesen masing-masing.

Beliau berkata, tindakan itu bertujuan memperketat pembaharuan lesen import rokok serta pengenaan syarat tambahan pengimportan dengan kuantiti minimum dalam tempoh 12 bulan, perlu dipatuhi pengimport.

Katanya, bermula Januari 2021 juga semua aktiviti penghantaran rokok, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/ gel tanpa nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik hanya dibenarkan beroperasi di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Utara di Selangor.

“Ia juga boleh dilaksanakan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor; Pelabuhan Sandakan di Sabah dan Pelabuhan Senari di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Latif berkata, aktiviti penghantaran hendaklah menggunakan kontena ISO dimuatkan secara Full Container Load (FCL), manakala aktiviti pecah pukal (break bulk) tidak dibenarkan.

Katanya, aktiviti transit bagi tujuan eksport melalui jalan darat dibenarkan dengan mematuhi lima syarat ditetapkan JKDM.

Beliau berkata, rokok dieksport itu perlu melalui lima pelabuhan penghantaran yang ditetapkan, manakala perjalanan dari pelabuhan berkenaan perlu terus ke destinasi terakhir di luar negara.

“Pengeksport juga perlu mematuhi peruntukan Akta Kastam 1967, Peraturan-Peraturan Kastam 2019 dan dasar jabatan yang sedang berkuat kuasa.

“Aktiviti penghantaran dan eksport semula rokok keluar negara, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/ gel tanpa nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik menggunakan bot-bot kecil termasuk bot kumpit juga tidak dibenarkan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan,” katanya.

Katany, duti/cukai dengan kemudahan pulang balik (drawback) akan dikenakan terhadap semua rokok, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/gel tanpa nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik yang diimport bagi tujuan eksport semula keluar negara dan hanya dibenarkan di Zon Bebas tertakluk kepada syarat.

Katanya, tindakan itu selaras dengan Seksyen 93, Akta Kastam 1967 yang menyatakan pengeksportan semula ke luar negara hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pembayaran duti/cukai.

“Tuntutan pulang balik boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pengeksportan semula ke luar negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, JKDM akan mengenakan cukai terhadap rokok, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair / gel tanpa nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik di semua Pulau Bebas Cukai (Langkawi, Labuan, Tioman dan Pangkor) dan Zon Bebas (Perniagaan Runcit) bermula awal Januari 2021.

Justeru, katanya, kelayakan pengecualian duti kepada pelancong atau pelawat terhadap rokok dan produk tembakau tidak lagi terpakai mulai 1 Januari 2021 di Zon Bebas (Perniagaan Runcit) yang terbabit bawah Seksyen 6A, Akta Zon Bebas 1990.

“Zon Bebas terbabit terdiri daripada Kawasan Bebas Cukai Stulang Laut, Johor; Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Kelantan dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Baki rokok dan produk tembakau yang telah diimport ke Pulau Bebas Cukai (PBC) dan Zon Bebas (Perniagaan Runcit) sebelum 1 Januari 2021 boleh disimpan, dimiliki, dijual atau dilupuskan di PBC dan Zon Bebas (Perniagaan Runcit).

“Bagi baki rokok berlabel setem cukai merah (MDNP) dan produk tembakau yang masih belum dibayar duti atau cukai yang hendak dibawa keluar ke kawasan utama kastam (KUK) perlu dijelaskan duti/cukai terlebih dahulu,” katanya.