M Update, 31/12/2020 – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menyumbangkan kira-kira 12,000 pelitup muka dan keperluan makanan kepada lebih 200 petugas barisan hadapan yang digerakkan untuk menangani Kluster Tembok Mempaga di Penjara Bentong.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong, di Kompleks Penjara Bentong, di sini, hari ini.
Jasvir Singh berkata, Wan Rosdy amat mengambil berat serta prihatin terhadap petugas barisan hadapan yang sanggup berdepan risiko dan bertungkus lumus membanteras pandemik COVID-19.
“Justeru sebagai bantuan awal, Menteri Besar menyumbangkan pelitup muka dan keperluan makanan kepada petugas barisan hadapan yang ditempatkan di Penjara Bentong.
“Keperluan petugas barisan hadapan akan terus diberi perhatian dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lancar dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.