Input your search keywords and press Enter.

Sarawak Ambil Langkah Serius Dalam Isu Penyeludupan Daging

M Update, 31/12/2020 – Kerajaan Sarawak mengambil serius isu daging seludup di negara ini dan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi menyekat kemasukannya ke negeri ini, kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak mengambil berat dan menyokong apa juga tindakan perlu oleh pihak berkuasa khasnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menangani isu berkenaan.

“Kerajaan Sarawak juga menyokong dan mendukung hasrat pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasa Halal yang turut dianggotai oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Agama Islam Sarawak di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) turut meminta agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia agar memperketatkan lagi pemeriksaan kemasukan daging import ke Sarawak.

Katanya mesyuarat hari ini turut membincangkan penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak bersepadu untuk melakukan pemeriksaan ke premis-premis penyembelihan daging.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.