Input your search keywords and press Enter.

PM Lancar Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

M Update, 05/01/2021 – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menanam pokok Merbau di perkarangan Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri di sini, bagi memulakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Usai menanam pokok itu, Muhyiddin menyampaikan amanatnya yang turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), dengan mengajak rakyat Malaysia menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam pokok.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah bersama-sama menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam 100 juta pokok di seluruh negara menjelang tahun 2025,” katanya ketika melancarkan kempen itu serta aplikasi mudah alih dan laman web khas Program Penghijauan Malaysia;  www.100jutapokok.gov.my.

Turut hadir Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSa) Datuk Zurinah Pawanteh.

Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok turut diadakan secara serentak di seluruh negara dengan tema ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ atau ‘Greening Malaysia: Our Trees, Our Life’.

Dalam kenyataan media sempena kempen itu, Muhyiddin berkata Kempen Penanaman 100 Juta Pokok adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia, yang merupakan satu daripada agenda nasional bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Beliau berkata program itu akan memulihara kepelbagaian biologi yang merupakan khazanah negara yang tidak ternilai, meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi dan sungai.

“Program Penghijauan Malaysia juga merupakan satu ikrar dan komitmen kerajaan yang berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama, untuk menyumbang kepada masa hadapan yang lebih hijau,” katanya.

Kempen anjuran KeTSa itu dilaksanakan melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), jabatan-jabatan perhutanan negeri, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan kerajaan negeri, dengan menyasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

Muhyiddin berkata melalui kempen tersebut, JPSM menganggarkan akan terdapat peningkatan kawasan hutan dipulihara sebanyak 20,000 hingga 80,000 hektar menjelang tahun 2025, bergantung kepada jarak penanaman.

“Kempen ini dijangka menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida, di antara 30 juta tan di kawasan bandar hingga 85 juta tan di kawasan hutan dan lain-lain dalam setahun,” katanya.

Muhyiddin berkata Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertujuan mempertahankan kekayaan alam semula jadi negara, dalam semua aktiviti pembangunan sosioekonomi dan mengekalkan pengiktirafan ke atas Malaysia sebagai antara 12 buah negara ‘megadiverse’.

Sehingga kini, katanya Malaysia berjaya mencatatkan litupan hutan sebanyak 55.3 peratus selari dengan komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992, iaitu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

Ketika menyeru semua lapisan masyarakat termasuk syarikat serta badan korporat untuk menyokong agenda nasional itu, Muhyiddin berkata, “Mulakan azam tahun baharu 2021 dengan bersama-sama menghijaukan bumi Malaysia! Pokok Kita, Kehidupan Kita”.