Input your search keywords and press Enter.

Op Murni : ATM Gerakkan Hampir 5,000 Pegawai & Anggota Bantu Mangsa Banjir

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

M Update, 05/01/2021 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan seramai 4,983 pegawai dan anggota menerusi Op Murni ke enam negeri terjejas banjir, mulai hari ini.

Enam negeri itu ialah Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ATM akan menggunakan pelbagai aset termasuk 800 trak, 197 bot, dua pesawat pengangkut dan enam helikopter.

“Trak itu jenis satu, tiga, lima dan tujuh tan manakala majoriti bot pula terdiri daripada bot tempur. Kita juga ada bawa 10 ‘bailey bridge’ (jambatan) untuk membantu mangsa banjir.

“Sehingga semalam, situasi banjir menjejaskan enam negeri itu membabitkan pemindahan seramai 22,699 mangsa di 282 pusat pemindahan.

“Susulan itu, ATM mengatur gerak sebahagian anggota dan asetnya di negeri terjejas teruk iaitu di Pahang dan Johor,” katanya pada sidang media Op Murni di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, atur gerak terkini di dua negeri itu membabitkan 24 pegawai dan 546 anggota ATM lain pangkat.

“Jumlah aset pula ialah 14 bot, 39 kenderaan tiga tan, empat kenderaan tujuh tan serta 14 kenderaan pacuan empat roda Land Rover.

“Pada masa sama, lebihan anggota dan aset ATM dirancang juga diletakkan lebih awal di setiap daerah dan negeri dikenal pasti akan terjejas.

“Ini termasuk menempatkan pegawai perhubungan di setiap negeri dan daerah bagi memantau pelaksanaan Op Murni,” katanya.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) operasi itu, Ismail Sabri berkata, garis panduan berkenaan sudah diwujudkan bagi mengawal penularan COVID-19.

“Kita bersedia dengan SOP ketat sejak mula mangsa berpindah dan ketika anggota memindahkan mereka. Mangsa yang mungkin susah nak bergerak, kita kena angkat dan ada prosedurnya.

“Dalam trak dan pusat pemindahan kena ada penjarakan fizikal. Kita juga ada SOP fasiliti seperti tandas di pusat pemindahan. Dulu makan secara bergotong-royong, sekarang makan dengan cara bungkus.

“Kita perlu pastikan tidak terlalu ramai orang pada satu masa. Perincian mengenai SOP itu akan saya umumkan dalam sidang media harian petang nanti,” katanya.