Input your search keywords and press Enter.

Perbuatan Tidak Bertanggungjawab, Campak ‘SAKA’ Ke Dalam Sungai

Tangkap layar dari video yang tular memaparkan seorang wanita membuang sampah ke sungai yang tindakannya mendapat perhatian Tuan Ibrahim dan warga maya.

M Update, 06/01/2021 – Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang wanita yang membuang sampah ke dalam sungai di Kelantan yang video perbuatannya tular sejak semalam.

Katanya, ketika kementerian melancarkan kempen menjaga sungai, masih ada masyarakat yang tidak mempedulikan kebersihan sumber air.

“Pelaku seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu.

“Terima kasih kepada yang membuat rakaman,” katanya menerusi di Facebook, malam tadi.

Terdahulu, tular video sebuah kereta yang berhenti di atas jambatan sebelum seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai menerusi tingkap kenderaan dinaikinya.

Video berdurasi 20 saat itu tular dan mendapat kecaman daripada netizen yang mengatakan individu berkenaan tiada kesedaran sivik sehingga sanggup membuang sampah secara terbuka ke dalam sungai.

Namun, terdapat page Facebook yang memaklumkan wanita berkenaan memohon maaf atas tindakannya sambil menjelaskan beliau baru pulang daripada berubat di Kuala Krai dan diminta perawat tradisional supaya membuang barang ‘saka’ ke dalam arus sungai yang mengalir.