M Update, 21/01/21 – Kerajaan menambah suntikan fiskal RM4.73 bilion bagi sektor perniagaan termasuk pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah itu tidak termasuk inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini melalui bantuan terdahulu.
“Kita dengar ada yang mengeluh mengenai tidak dapat sokongan bagi sektor seperti pelancongan dan PKS sedangkan itu adalah antara matlamat utama kerajaan.
“Justeru, kita tambahkan suntikan fiskal kepada RM4.73 bilion, tidak termasuk inisiatif sebelum ini. Kita mesti melihat ukuran itu secara keseluruhannya dan bukan secara berasingan. Ada pelbagai bantuan termasuk bantuan langsung, potongan, pembiayaan dan inisiatif meningkatkan kadar permintaan untuk merancakkan ekonomi.
“Malah, semua yang diumumkan sebelum ini masih berjalan,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai PERMAI, di sini kelmarin.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan PERMAI dengan peruntukan RM15 bilion.
Pakej bantuan kelima kerajaan yang mempunyai 22 inisiatif itu akan dilaksanakan berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan menerima segala pandangan dengan terbuka dan berharap pelbagai pihak melihatnya dalam konteks keseluruhan serta memohon bantuan tersedia.
Katanya, kerajaan terus memantau dan memberikan status inisiatif kepada orang awam dengan memperhalusi beberapa langkah melalui PERMAI.
Malah, katanya, kerajaan bersedia mendengar dan menambah baik jika perlu kerana mahu ekosistem perniagaan yang rancak.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sudah menyalurkan sejumlah RM12.5 bilion kepada Program Subsidi Upah (PSU) tahun lalu, selain mengumumkan RM1.5 bilion dalam PSU bersasar ketika pembentangan Belanjawan 2021 bagi sektor pelancongan dan peruncitan.
“Bagi yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan menambah RM1 bilion bagi PSU 3.0 di bawah PERMAI dan ini diperluaskan kepada semua sektor di kawasan PKP.
“Syarikat yang ingin memohon, kelayakan dari segi had pekerja dinaikkan daripada 200 kepada 500 orang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sudah mengumumkan Pelan Pemulihan Sektor Pelancongan berjumlah RM200 juta dan ia diteruskan.
Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), PKS mendapat manfaat lebih RM24 bilion.
“Ini belum dikira dengan inisiatif belanjawan yang diumum pada November lalu,” katanya.