Input your search keywords and press Enter.

JALSOA BANTAH TOMMY THOMAS

Penulisan Tan Sri Tommy Thomas

JALSOA dengan ini menyatakan bantahan tegas atas penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku tersebut. Kandungan buku tersebut menceritakan kisah hidup dan perjalanan kerjaya beliau sebagai Peguam Negara sepanjang masa material selama 21 bulan yang disebut oleh beliau sebagai “the chieflegal advisor to the Prime Minister and his administration”.

Sebagai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomasjuga adalah Ketua Perkhidmatan kepada Pegawai Undang-Undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, namun kenyataan-kenyataan beliau menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan Pegawai Undang-Undang dalam skim perkhidmatan ini.

Tan Sri Tommy Thomas menggelar Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran. Kenyataan ini adalah bersifat jahat malah menghina Pegawai Undang-Undang secara keseluruhannya. JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau tersebut.

Pegawai Undang-Undang sama ada yang ditempatkan di Jabatan Peguam Negara mahupun di Mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka menurut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah Peguam Negara atau Kerajaan yang memerintah.

Cabaran, dugaan dan tekanan dalam tugasan seorang Pegawai Undang-Undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan tetapi memberi kesan kepada kepentingan negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang. Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja Pegawai Undang-Undang.

Tan Sri Tommy Thomas tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan Pegawai Undang-Undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat apatah lagi menyebut dengan jelas nama Pegawai Undang-Undang dalam bukunya dengan cemuhan.

Pegawai Undang-Undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili Kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di Mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara. Pandangan Tan Sri Tommy Thomas amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. Apa-apa jua perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan Pegawai Undang-Undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum. Persepsi tersebut adalah ciptaan Tan Sri Tommy Thomas sendiri atas kegagalannya dalam menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam.

JALSOA berpendirian bahawa Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang beliau, serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

JAWATANKUASA EKSEKUTIF JALSOA 3 FEBRUARI 2021

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.