M Update, 03/02/2021 – Prosedur operasi standard (SOP) perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akan diumum dalam masa terdekat.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SOP tersebut sedang dirangka dan akan diumum kelak selepas selesai perbincangan antaranya melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
“Kita sedang rangka. KKM, KPN akan duduk bersama untuk membincangkan SOP Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 12 Feb tahun ini dan ia akan siap dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini semalam.
Terdahulu, beliau mengumumkan PKP 2.0 yang sedang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak yang dijadualkan berakhir pada 4 Feb ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 Feb depan.
Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mempertimbang permohonan beberapa sektor ekonomi untuk kembali beroperasi termasuk kedai gunting rambut dan kedai cuci kereta.
“Kita dapat banyak rayuan perniagaan yang mohon dibenarkan dan selepas meneliti perkara ini, MKN akan bermesyuarat dengan agensi berkaitan bagi mempertimbang permohonan terbaharu tersebut. Penilaian risiko akan dibuat KKM, kemudian baru kita luluskan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata sidang khas semalam turut mendengar pembentangan MKN berhubung strategi kerajaan dalam menghadapi pandemik COVID-19 termasuk pengurusan sektor ekonomi dalam fasa PKP 2.0.
Pelan tersebut, katanya menggariskan 10 strategi iaitu tindakan perundangan melalui Ordinan Darurat; memperkukuh penguatkuasaan; pengurusan tempat tinggal pekerja (Task Force Penginapan Pekerja); pematuhan SOP di tempat kerja (pemantauan agresif) dan pemantauan pematuhan menyeluruh (Flying Squad agensi kerajaan).
Selain itu, melaksanakan program saringan secara agresif; Skuad ABC-19 (Agen Basmi COVID-19) dengan melibatkan peranan sukarelawan komuniti; penempatan sementara sektor awam (memperkasa agensi tunjang pengurusan pandemik); program imunisasi COVID-19 kebangsaan; penggunaan teknologi (pengukuhan tindakan kesihatan serta naziran pelaksanaan tindakan (memastikan pelaksanaan).
Beliau berkata KKM turut membentangkan Pelan Strategik bagi menangani pandemik COVID-19 bagi fasa PKP 2.0.
“Terdapat lima strategi yang telah digariskan iaitu memutuskan rantaian transmisi, mengurangkan morbiditi dan kematian, memperkukuhkan diagnostik dan survelan, mencapai Imuniti kelompok, meningkatkan tingkatkan kesedaran dan pembudayaan normal baharu,” katanya.