Input your search keywords and press Enter.

Tiada lagi Status Kuning Kontak Kasual

M Update, 01/03/2022 – Tiada lagi perubahan status kuning kepada pengguna aplikasi MySejahtera yang menjadi kontak kasual.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata individu yang menjadi kontak kasual akan menerima notifikasi daripada MySejahtera, memaklumkan mengenai hal berkenaan.

“Sebelum ini apabila MySJ (MySejahtera) Trace/Check-in mengesan anda sebagai kontak kasual bagi kes positif COVID-19, status di aplikasi akan bertukar kepada kontak kasual. Kini tiada lagi perubahan status. Tetapi, anda akan menerima notifikasi. Jika bergejala, asingkan diri dan lakukan ujian kendiri,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Khairy turut meminta individu yang menjadi kontak kasual dan bergejala untuk mengamalkan TRIIS atau uji, lapor, asing, maklum dan cari.

Khairy turut berkongsi cara untuk melakukan TRIIS, iaitu segera melakukan ujian saringan COVID-19 secara kendiri, sekiranya mengalami simptom jangkitan seperti selesema, demam dan batuk. Selepas melakukan ujian kendiri, individu itu perlu melaporkan keputusan saringan itu secepat mungkin di aplikasi MySejahtera.

Sekiranya didapati positif COVID-19, pesakit berkenaan perlulah melakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera serta mematuhi perintah kuarantin wajib di rumah.

Individu yang didapati positif itu juga perlu segera memaklumkan kepada kontak rapatnya mengenai hal berkenaan serta maklumkan kepada pihak berwajib atau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) mengenai situasi kesihatan diri, sekiranya semakin merosot ketika menjalani kuarantin di rumah.

Mereka juga perlu mendapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya mengalami gejala berat seperti kesukaran bernafas dan suhu badan terlalu tinggi. – BH