M Update, 17/2/2021 – Pendaftaran untuk vaksinasi COVID-19 akan mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Mac depan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti beberapa kaedah yang boleh digunakan orang awam untuk mendaftarkan diri selain pihaknya juga akan mengenal pasti kumpulan sasar bagi memastikan mereka mendapatkan vaksinasi itu.
Terdapat lima kaedah yang kita akan kenal pasti untuk pendaftaran iaitu menggunakan sama ada aplikasi MySejahtera, laman sesawang ataupun nombor telefon.
Terdahulu, menurut Buku Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) semalam, daripada lima kaedah pendaftaran yang dikenal pasti, dua adalah pendaftaran secara dalam talian iaitu menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my.
Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM telah membuat persediaan untuk program vaksinasi COVID-19 sejak Ogos tahun lepas yang turut merangkumi penyediaan prasarana bagi memastikan vaksin diterima dan disimpan dengan selamat.
Beliau berkata setiap vaksin yang diluluskan penggunaannya adalah berdasarkan kajian yang telah dijalankan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan melihat kepada data kajian fasa tiga vaksin, keberkesanan dan keselamatan.
KKM juga berpendirian hanya menjalankan program imunisasi COVID-19 kepada individu berusia 18 tahun ke atas walaupun ada negara yang memberikan vaksin kepada remaja berusia 16 tahun.
“Ini kerana dari peringkat usia 16 hingga 18 tahun, tiada bukti kukuh menunjukkan vaksin boleh diguna pakai. Kita patuh pada kajian yang telah dijalankan dan melihat kepada keberkesanan dan juga kesan sampingan,” katanya. – BERNAMA