Input your search keywords and press Enter.

Agong Boleh Tentukan Tarikh Sidang Parlimen Tanpa Nasihat PM

M Update, 25/02/2021 – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memuji ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen dibenarkan bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara mengenai hal itu ternyata memberi berita gembira kepada rakyat.

“Kita semua menyambut baik ketegasan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa. Sudah tentu rakyat gembira dengan kenyataan ini,” katanya.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan sidang Parlimen akan diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, mengenai bila Parlimen boleh bersidang, Tengku Razaleigh berkata penentuan tarikh persidangan yang sesuai boleh ditentukan oleh Seri Paduka Baginda.

“Sebenarnya memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri apatah lagi di dalam keadaan darurat yang telah diisytiharkan,” katanya.

Sumber : BH Online