Input your search keywords and press Enter.

Enam Maut, 81 Cedera Dalam Serangan Bom Di Istanbul

M Update, 14/11/2022 – Sekurang-kurangnya enam mangsa dilaporkan terkorban, manakala sekurang-kurangnya 81 lagi cedera selepas letupan bom menggegarkan kawasan tumpuan orang ramai membeli belah di ibu kota Turkiye ini, pada petang Ahad.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya, berkata kejadian menggemparkan itu berlaku di Istiklal Street, di kawasan Dataran Taksim, pada jam 4.20 petang waktu tempatan.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar letupan berkenaan, yang turut dirakam saksi dan ditularkan menerusi media sosial sejurus kejadian. Jumlah sebenar mangsa yang terkorban dan cedera akibat letupan bom itu masih dalam siasatan dan belum dikeluarkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Turkiye.

Seorang saksi, Cemal Denizci, 57, mendakwa berada dalam jarak kira-kira 50 meter ketika terdengar bunyi letupan yang teramat kuat itu.

“Asap tebal menyelubungi ruang udara sejurus letupan terbabit. Saya sempat melihat beberapa orang terbaring. Letupan terbabit membuatkan orang ramai panik dan lari bertempiaran.

“Ibu bapa segera mendapatkan anak masing-masing ketika berusaha menyelamatkan diri dan lari dari lokasi kejadian,” katanya kepada AFP.

Wartawan AFP di lokasi melaporkan, anggota keselamatan mengepung kawasan kejadian kerana bimbang letupan kedua berlaku, selain siasatan sedang dijalankan di lokasi.

Visual kejadian itu yang disebarkan menerusi media sosial menunjukkan letupan berlaku disusuli dengan api yang mencetuskan suasana panik menyebabkan orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Sebuah kawah hitam besar juga kelihatan dalam visual yang ditularkan dengan beberapa mayat kelihatan bergelimpangan di atas tanah berhampiran kawasan terbabit.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dalam kenyataannya, mengecam serangan terbabit dan menegaskan pihak yang mendalangi kejadian itu akan dihukum.

“Tanda awal menunjukkan, kejadian itu mungkin satu bentuk serangan keganasan,” katanya sebelum berlepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak G-20 di Indonesia.

Istiklal Street adalah lokasi tumpuan pengunjung, termasuk pelancong untuk membeli-belah. Kawasan terbabit dilaporkan pernah menjadi sasaran siri serangan bom oleh pengganas pada 2015 dan 2016.

Serangan yang didakwa didalangi oleh kumpulan IS itu, dilaporkan membunuh hampir 500 mangsa dan mencederakan lebih 2,000 orang. – Agensi/CNN