M Update, 25/02/2021 – Individu yang menyebarkan kenyataan mengelirukan mengenai suntikan vaksin COVID-19 boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima sebarang laporan polis berhubung isu itu. Bagaimanapun, setakat ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara terbabit.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, terdapat kelompok antivaksin dikesan melobi masyarakat untuk menentang program itu dengan pelbagai maklumat salah, alasan tidak munasabah dan bertentangan dengan ilmu sains.
Acryl Sani berkata, mereka yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BH Online