Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Pertimbang Gubal Undang-Undang Denda Potong Giliran Terima Vaksin

M Update, 01/03/2021 – Kerajaan sedang mempertimbangkan kemungkinan menggubal undang-undang bawah Ordinan Darurat untuk membolehkan denda dikenakan terhadap individu yang tidak mengikut giliran menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu sudah dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri. Sekiranya kita perlu menggubal (undang-undang bawah) Ordinan Darurat untuk mengenakan denda terhadap mereka yang memotong giliran, saya bersedia berbuat demikian,” katanya pada forum Sembang Vaksin Bersama YB Khairy Jamaluddin anjuran MedTweetMY, malam tadi.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan, isu potong giliran menerima vaksin COVID-19 itu sudah tercetus sejak beberapa hari lalu. Malah, katanya, perkara itu juga telah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan memotong giliran vaksinasi tidak boleh berlaku kerana senarai penerima diputuskan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

“Hanya jawatankuasa ini boleh memutuskan siapa masuk dalam senarai. Jawatankuasa ini membabitkan pegawai daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan kementerian lain. Semua terbabit dan kita memperhalusi satu per satu,” katanya.

Sehubungan itu, Khairy berkata, selain pengadu boleh melapor terus kepada beliau menerusi e-mel, kerajaan juga akan mewujudkan satu pautan dalam laman web: www.vaksincovid.gov.my sebagai saluran aduan.

“Yang pasti, saya amat serius mengenai hal ini. Saya juga terpaksa memaklumkan kepada ahli politik, rakan saya… sama ada keluarga atau pasangan suami isteri sekalipun, mereka perlu menunggu giliran. Jika mereka bukan wakil rakyat, perlu menunggu giliran. Itu jelas,” katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat, bukti atau keraguan berhubung isu potong giliran itu boleh disalurkan melalui pautan laman web berkenaan. – BH Online