Input your search keywords and press Enter.

Waspada! Penjualan Vaksin COVID-19 Palsu Dalam Talian

M Update, 05/03/2021 – Masyarakat diminta tidak mudah tertipu dengan pihak menyamar wakil syarikat atau negara luar yang menawarkan pemberian vaksin COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan mendekati masyarakat untuk menawarkan vaksin COVID-19. Harap rakyat tidak mudah tertipu dengan mana-mana pihak yang mendakwa mereka diberi peranan oleh kerajaan untuk berikan vaksin.

Orang ramai perlu merujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ramai mengambil kesempatan bukan setakat menawarkannya dalam talian, malah ada yang mendekati bertanyakan kononnya mereka ejen dari negara luar dan syarikat tertentu.

Di negara kita ada syarikat yang bawa masuk vaksin seperti Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) yang membawa Sinovac… kalau ada pihak lain kata mereka membawa masuk vaksin, ini adalah tidak benar.

Selain MySejahtera, pendaftaran juga boleh dibuat menerusi lawan web http://www.vaksincovid.gov.my atau terus ke hospital dan klinik kesihatan awam berdekatan yang akan mula dibuka hari ini atau melalui talian hotline yang bakal diumumkan oleh Mosti dalam masa terdekat,” katanya.