Input your search keywords and press Enter.

Ingkar SOP : Diskaun 50 Peratus Untuk Pembayaran Kompaun – Takiyuddin

M Update, 17/03/2021 – Individu atau syarikat yang dikompaun kerana melanggar mana-mana SOP, layak mendapat diskaun jika membuat bayaran dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikenakan kompaun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, diskaun sebanyak 50 peratus akan diberikan untuk pembayaran dalam tempoh tujuh hari manakala 25 peratus pada tempoh tujuh hari berikutnya.

“Contohnya dia tidak pakai pelitup muka, dia bayar dalam tempoh tujuh hari, maka automatik dia akan dapat diskaun 50 peratus.”Maknanya, dia hanya perlu bayar RM750 untuk kesalahan kali pertama, separuh daripada jumlah RM1,500,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Kompaun RM1,500 ditetapkan untuk kesalahan kategori ketiga, iaitu kesalahan yang boleh menyebabkan risiko penularan yang rendah atau tiada langsung kesan kepada komuniti. Menjelaskan lebih lanjut, Takiyuddin berkata, Kabinet juga meluluskan pelaksanaan Seksyen 25 di bawah Akta 342 berdasarkan tiga kategori.

“Kategori pertama ialah kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tinggi atau impak jangkitan pada skala besar.

“Kedua, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tetapi tidak beri impak jangkitan kepada komuniti.”

Dan ketiga, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan yang rendah atau tiada langsung kesan kepada komuniti,” jelasnya.

Justeru beliau memaklumkan, individu yang melakukan kesalahan seperti gagal memakai pelitup muka, gagal mendaftar melalui MySejahtera atau menulis maklumat dalam buku rekod, membenarkan kompaun tidak melebihi RM10,000.

Tetapi kerajaan telah membenarkan bagi kesalahan individu kali pertama, kompaun adalah RM1,500. Bagi kesalahan memasuki pusat perniagaan pub atau kelab malam termasuk premis perniagaan dalam pub atau kelab malam, jika individu, boleh dikompaun maksimum RM10,000. Manakala bagi peniaga pula akan dikenakan kompuan maksimum RM50,000. Ini kerana kita menganggap kesalahan berkaitan kelab malam dan pub ini sebagai satu kesalahan serius.

Mulai 1 April ini, pasukan penguatkuasaan pelaksanaan SOP dianggotai polis, tentera, RELA dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan. – Astro Awani