M Update, 19/03/2021 – Bapa pelawak, Achey Bocey iaitu Hamzah Salam, 85, meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor, tengah malam tadi.
Berita sedih itu dikongsi Achey atau nama sebenar, Mohd Nasir Hamzah, 34, di lnstagram (IG), kira-kira jam 12 tengah malam.
“Tiada lagi abah tapi abah tetap dalam diri kami,” luah Achey yang berkongsi foto hitam putih dirinya duduk sambil memandang ke lantai menandakan kesedihan dialami atas pemergian insan tersayang.
Isteri Achey, Nor Hasanah Yahaya turut memuat naik foto sama diiringi kapsyen mengesahkan pemergian bapa mentuanya.
“Al Fatihah Hamzah Salam… Abah sudah kembali padanya,” tulisnya.
Terdahulu, Achey memuat naik video memaparkan kepulangannya ke Segamat bertemu arwah. Pagi semalam, Achey meluahkan kebimbangan mengenai keadaan kesihatan bapanya yang tidak sedarkan diri di kediaman keluarganya di Segamat. Achey memberitahu, bapanya dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Assalamualaikum, terima berita abah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Segamat. Kami sekeluarga mohon doa daripada anda semua untuk abah… Abah kuat. Saya tidak boleh fikir, jadi tergamam sekejap. Tahun lalu, ketika Muzikal Lawak Superstar, arwah ayah mentua pergi. Tahun ini diuji pula abah tidak sedar ketika menyertai program sama… Doakan untuk abah,” katanya.
Achey yang juga ahli kumpulan Bocey giat berlatih bagi menyertai musim kedua Muzikal Lawak Superstar yang akan disiarkan secara langsung, malam ini. Achey sebelum ini mengaku trauma apabila menerima berita sedih pemergian bapa mentua ketika menyertai program sama, tahun lalu. – BH Online