M Update, 25/03/2021 – Tragedi berdarah itu dipercayai berlaku akibat lelaki tersebut berang hasratnya untuk mendirikan rumah tangga tidak direstui.
“Bapa saya mati, bapa saya mati”. Demikian laungan lelaki berusia 25 tahun ketika mempamerkan kepala bapanya yang sebelum itu dipenggal.
Kejadian berkenaan berlaku di Kampung Sendang Rejo, Sendang Agung, Lampung Tengah dekat sini. Suspek membunuh bapanya apabila lelaki itu tidak bersetuju dengan hasratnya untuk berkahwin. Ketika kejadian, penduduk gempar apabila melihat kepala Slamet, 69, ‘diarak” anak lelakinya jam 2 petang.
Portal Tribunnews melaporkan, seorang penduduk, Tarmin mendakwa suspek menjerit-jerit bahawa bapanya meninggal dunia.
“Diarak (kepala mangsa) untuk dilihat penduduk sambil menjerit ‘bapa saya mati’ berulang kali,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Sendang Rejo, Hotini mengesahkan kejadian berkenaan. Menurutnya, tindakan suspek itu berikutan lelaki itu dipercayai berang dengan bapanya yang tidak mahu merestui hasrat untuk bernikah.
“Suspek mahu bernikah, tetapi orang tuanya menolak (permintaannya). Selepas dipenggal, anaknya menunggang motosikal dan membawa kepala mangsa, keliling kampung,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Polis Lampung Tengah Edi Qorinas berkata, kejadian itu berlaku selepas mangsa pulang dari sawah.
Ketika berehat, suspek menyerang bapanya dengan parang. Selepas bapanya mati, suspek memenggal kepala mangsa dan memasukkannya ke dalam karung. Suspek tunggang motosikal sambil membawa kepala mangsa,” kata Edi. Barang bukti (parang) dirampas dan suspek sudah ditahan.
Suspek ditahan polis dan disahkan mengalami masalah mental. – HM Online