Input your search keywords and press Enter.

Chatime Sahkan Neelofa Ke Langkawi Atas Urusan Kerja Bukan Berbulan Madu

M Update, 31/03/2021 – Pembekal makanan dan minuman Chatime Malaysia Sdn Bhd mengesahkan pengacara dan usahawan, Neelofa serta suami, Haris Ismail atau PU Riz berada di Langkawi atas urusan kerja.

Pengarah Urusan Kumpulan, Aliza Ali, berkata Neelofa dan suami sedang melakukan lawatan kerja ke tiga lokasi di zon utara iaitu Sungai Petani dan Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bagi tujuan pembukaan cawangan baharu. Lawatan ini juga membabitkan beberapa kakitangan dan bahagian operasi serta pengurusan Chatime Malaysia.

Aliza berkata, kebenaran merentas negeri ke Langkawi diperoleh dari balai polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Diharapkan kenyataan ini dapat memberi pencerahan kepada segala kesulitan,” katanya yang turut berkongsi penjelasan itu di Instagram (IG) Chatime Malaysia.

Sejak kelmarin, foto memaparkan Neelofa dan Haris berada di Langkawi, tular dalam media sosial hingga menimbulkan spekulasi bagaimana pasangan itu boleh merentas negeri untuk berbulan madu.

Sementara itu, Polis Daerah Brickfields mengesahkan memberi kebenaran kepada selebriti Neelofa dan tiga individu lain untuk bergerak ke Langkawi atas urusan kerja, bukan berbulan madu.

Berdasarkan permohonan wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas di sini, tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit bersama dua individu lain adalah atas urusan kerja bersama Chatime Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata mengikut permohonan itu, mereka dibenar bergerak ke lokasi tujuan bermula 27 Mac lalu hingga 4 April ini. – BH Online