Input your search keywords and press Enter.

Selebriti, VIP Tidak Kebal Undang-Undang Jika Langgar SOP

M Update, 31/03/2021 – Golongan selebriti atau VIP tidak kebal undang-undang sekiranya didapati melanggar sebarang prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak timbul isu ‘double standard’ kerana semua pihak tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira status mereka.

“Semua rakyat tidak kira VIP atau tidak, mereka tertakluk kepada undang-undang dan sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang atau peraturan atau SOP, akan dikenakan tindakan. Kerajaan sudah menyediakan peraturan dan hukuman atau kompaun berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan ia terpulang kepada penguat kuasa pematuhan (SOP) untuk mengambil tindakan.

“Sekiranya ada isu pelanggaran SOP, ia perlu dilaporkan dan tindakan akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Pejabat Kesihatan dan pihak yang diberi kuasa mengikut Akta 342,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berhubung pelanggaran SOP oleh segelintir selebriti yang didakwa merentas negeri untuk melancong selain majlis perkahwinan selebriti yang tidak mengikut SOP ditetapkan MKN.

“Syarat permit atau kebenaran mengadakan majlis awam atau perkahwinan menyediakan SOP yang ketat namun penganjur perlu memastikan semua tetamu mematuhi SOP ditetapkan itu. Sekiranya majlis diadakan di hotel, pihak pengurusan hotel perlu menyediakan petugas untuk membuat pemantauan dan memastikan orang ramai mematuhi SOP,” katanya.

Katanya lagi, untuk acara atau majlis yang diadakan di luar dewan atau di kampung-kampung, pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu memainkan peranan mereka dalam memastikan tetamu mematuhi segala SOP. Tambah beliau, sekiranya ada berlaku pelanggaran SOP, perkara itu perlulah dilaporkan untuk tindakan lanjut. – BH Online