Input your search keywords and press Enter.

Gembling tenaga pakar akademik dan agensi penguatkuasa dalam risikan

Oleh Mohd Fahmi bin Mohd Yusof

Baru-baru ini kita didedahkan dengan laporan media mengenai tangkapan seorang pemuda yang merancang untuk menikam orang di sebuah saumaah Yahudi di Singapura pada Februari lalu. 

Kemudian, jika disorot laporan media di negara jiran Indonesia, bulan lalu serangan bom terhadap sebuah gereja di Makassar, Indonesia oleh sepasang suami isteri kemudian diikuti cubaan seorang wanita yang mahu melepaskan tembakan di ibu pejabat polis republik itu. 

Ini membuktikan ancaman dan perancangan serangan ganas berbentuk fizikal sentiasa dirancang dan mungkin akan berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu dan hari, malah menunjukkan masih wujud rangkaian kumpulan pelampau agama ini. 

Laporan di Indonesia juga menyaksikan setiap minggu atau bulan ada sahaja penyerbuan terhadap markas yang ‘merekrut’ ahli kumpulan baru mereka, membuktikan kegiatan mereka masih giat berlaku dalam senyap. 

Kegiatan ‘merekrut’ ahli dan mengumpul dana gerakan kumpulan pelampau ini pula dilihat mengikut peredaran masa apabila hanya menggunakan medium media sosial dan aplikasi penyampaian mesej seperti WhatsApp dan Telegram. 

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata sudah tiba masa untuk Malaysia menjalankan risikan media sosial (SOCMINT) dengan menggabungkan agensi penguatkuasa dan tenaga pakar akademik. 

“Risikan media sosial ini penting bagi kita mengenal pasti situasi dan kedudukan sebenar gerakan atau rangkaian ideologi kumpulan pelampau ini yang cuba disebar luas menerusi sosial media terutama di Facebook, kumpulan WhatsApp dan Telegram. 

“Pakar akademik mungkin ada bahagian atau data tersendiri yang boleh dikumpul dan dikongsi bersama agensi penguatkuasa untuk sama-sama membendung ideologi kumpulan pelampau agama ini,” katanya. 

Pakar anti-keganasan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman, menggesa kewaspadaan lebih tinggi semasa Ramadan kerana mungkin ada kumpulan pelampau agama merancang serangan di bulan suci umat Islam itu. 

Malah, Dr Ahmad berkata ancaman kumpulan pelampau agama dilihat lebih membimbangkan ketika ini, semasa umat Islam lain sibuk mengerjakan ibadah. 

“Tiga kelompok berpotensi yang perlu diambil serius adalah bekas anggota kumpulan JI yang masih berpegang pada ideologi mereka dan menetap di sini. 

“Selain itu, bekas penyokong IS dan orang muda yang tidak tahu apa-apa dan kerap mengabiskan masa melayari internet. 

“Mereka semua terdedah kepada naratif ekstremis agama,” katanya.  

Kesimpulannya, usaha kejadian yang berlaku di negara jiran kita sewajarnya dijadikan contoh terbaik untuk Malaysia meningkatkan kesiapsiagaan mengekang ideologi daripada berakar umbi, seterusnya mengelak berlakunya serangan keganasan berbentuk fizikal. 

Tamat

Penulis adalah penuntut semester akhir Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf

Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update