Input your search keywords and press Enter.

Vietnam Lagi! APMM Usir 3 Kapal Penguat Kuasa Vietnam

M Update, 03/05/2021 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengusir tiga kapal penguat kuasa Vietnam yang menghalang kapal APMM menahan bot nelayan negara mereka yang menceroboh perairan negara.

Kejadian itu berlaku di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara ketika Kapal Maritim (KM) GEMIA sedang menunda tiga bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara membabitkan rampasan bernilai RM4.5 juta, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, KM GEMIA sebelum itu menahan tiga bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia untuk merompak hasil laut negara pada jarak antara 119 hingga 120 batu nautika Timur Laut Kuala Terengganu antara jam 8 hingga 9 pagi.

Beliau berkata, tiga kapal penguat kuasa Vietnam memasuki perairan negara untuk menghalang KM GEMIA menahan tiga bot nelayan mereka dengan menghimpit bot tahanan dan membayangi KM GEMIA.

“Susulan kejadian itu, Pusat Operasi Maritim Terengganu mengarahkan KM AMANAH yang ketika itu berada pada jarak 35 batu nautika dari lokasi kejadian untuk memberikan bantuan dan memaklumkan Pusat Operasi Maritim Ibu Pejabat Putrajaya berkaitan insiden itu. Pada peringkat awal, penguat kuasa Vietnam meminta kita melepaskan bot-bot nelayan mereka namun kita tidak memenuhi permintaan itu kerana bot nelayan itu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut Malaysia.

“Anggota kita kemudian mengarahkan kapal-kapal penguat kuasa Vietnam itu keluar dari perairan negara sebelum mereka akhirnya akur dengan arahan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya menahan 19 nelayan termasuk tekong yang berusia antara 21 hingga 61 tahun yang berada di tiga bot nelayan asing itu. Katanya, pihaknya turut merampas 1.5 tan hasil laut, 4,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan dengan rampasan dianggarkan bernilai RM4.5 juta.

“Selain berdepan dengan gangguan penguat kuasa Vietnam, kita turut mengalami kesukaran apabila dua daripada bot nelayan yang ditahan itu mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda ke Jeti Maritim Negeri Terengganu bagi siasatan lanjut. Kita mengambil masa hampir 55 jam dengan kelajuan hanya tiga knot untuk menunda bot itu sebelum tiba di jeti kira-kira jam 3 petang semalam (Ahad).

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. Sepanjang Op Kuda Laut yang dilancarkan untuk membanteras pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam, 87 bot nelayan asing membabitkan 960 ditahan. – HM Online