Input your search keywords and press Enter.

Katil ICU Dah Penuh: Amaran Buat Rakyat Malaysia?

Sejak beberapa hari ni kita dapat lihat Panglima Perang Covid-19 kita iaitu Tan Sri Dr Noor Hisham dan juga KKM cuba memberi warning kepada kita akan keseriusan pandemik ini di Malaysia melalui beberapa posting di media sosial. Buat pertama kalinya, KKM telah berkongsi gambar-gambar dan video pesakit-pesakit Covid yang kritikal di wad-wad ICU yang kebanyakannya sudah 70% penuh. Lebih banyak hospital kerajaan telah membuka pintu untuk menempatkan pesakit Covid dan semakin hari jumlah yang kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan semakin meningkat. Walaupun penularan di negara kita tidak seserius di India, namun dari segi psikologinya kita dapat rasakan yang KKM sedang cuba untuk memberi peringatan bahawa kita boleh sahaja menjadi seperti India nauzubillahiminzalik.

Banyak masalah yang menyebabkan penularan pandemik Covid di India menjadi tidak terkawal. Dan kebanyakan masalah itu dibawa oleh rakyat India sendiri. Bila kerajaan India dah gariskan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat, rakyat masih lagi tidak percaya yang penyakit ini boleh membunuh. Ramai yang bersuka ria dan keluar bersosial tanpa menghiraukan SOP dan keselamatan diri. Ada satu tahap tu sampai polis kena bawa rotan nak suruh rakyat duduk di rumah!

Berbalik kepada negara kita dan katil ICU dah penuh ni, seeloknya kita perlu tanya diri kita tentang apakah sumbangan kita supaya kita tak bebankan kerajaan dan KKM? Kita semua dah tahu dan maklum tentang kejayaan kita membendung wabak ini pada 2020 kan? Ketika itu arahan kerajaan supaya kita duduk di rumah memang disantuni oleh semua orang. Namun apabila semua bisnes ditutup seperti tahun lepas, memang diakui yang kerajaan telah terkesan dari segi ekonomi dan pendapatan kerajaan. Itulah sebabnya mengapa untuk MCO atau PKP 3.0 ini kerajaan telah mensyaratkan supaya bisnes boleh dibuka untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan sosial.

Maka apabila sektor perniagaan dibuka, sekarang tanggungjawab untuk menjaga SOP dan keselamatan kita akan jatuh kepada diri kita sendiri. Kita kena sedar bahawasanya apabila kerajaan mengisytiharkan PKP/MCO, kita sendiri harus tahu akan batasan kita supaya wabak ini dapat dihentikan dengan jayanya. Janganlah bila dah mula PKP/MCO dan kerajaan beri syarat tak boleh berjogging atau melakukan aktiviti fizikal di luar kita nak bising-bising. Bila kita bising komplen, kerajaan pun terpaksa melonggarkan semula syarat. Pokok pangkalnya kalau kita tidak mahu dijangkiti penyakit ini, ianya haruslah bermula dengan diri kita sendiri. Ini tak, dah tau kes banyak kita bising pasal tak boleh rentas negeri dengan daerah nak beraya, tasendiri galak berhimpit-himpit shopping raya sambil mengendong anak.

Kerajaan yang prihatin memang kena dengar rintihan dari segenap lapisan masyarakat, itu pasal bila ada PKP/MCO, kita dapat lihat ada kelonggaran dari segi industri perniagaan, sebab kerajaan ingin menjaga periuk nasi rakyat. Bila macam ni, rakyat seharusnya beringat bahawasanya tempat yang paling selamat dari Covid adalah di rumah. Kalau tak ada urusan, tak payahlah keluar rumah. Apa salahnya untuk kita ingatkan diri kita sendiri? Kenapa nak mengada-ada tunggu arahan dari kerajaan dahulu kan? Kita bukannya budak kecil yang perlu diarah untuk buat itu ini. Apa susah sangat ke nak duduk kat rumah tu? Akhir kata terimalah sebuah pantun dari seorang rakyat Malaysia kepada rakyat Malaysia yang lain:

Pergi ke kedai membeli cincau,
Mohon rakyat Malaysia jangan jadi palatao!

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update