Input your search keywords and press Enter.

Isu Kalimah Allah: Dasar Tak Berubah, Tak Perlu Riuh Rendah

M Update, 19/05/2023 – Isu penggunaan kalimah ALLAH tidak perlu dipolemikkan berikutan ia tidak melibatkan sebarang perubahan dasar sedia ada.

Menurut Perdana Menteri, tiada perubahan signifikan yang akan berlaku susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan menarik balik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Beliau juga berkata, ia masih mengikut dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu. Menurutnya lagi, dasar itu cukup jelas, di Semenanjung Malaysia, orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah manakala di Sabah dan Sarawak dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu.

“Ini keputusan mufti-mufti dan Raja-Raja Melayu, tiada perubahan. Jadi yang heboh ini kerana bantahan daripada individu di Sarawak kerana Sabah dan Sarawak dibolehkan dengan syarat tertentu.

“Ada beberapa suku kaum di Sarawak yang memang menggunakan perkataan (kalimah) itu sudah beratus tahun,” katanya.

Jemaah menteri pada Rabu telah membuat ketetapan untuk memperkemaskan lagi pelaksanaan dasar itu kerana terdapat beberapa aspek yang longgar dan kurang jelas. Katanya, Yang Dipertuan Agong telah berkenan agar perkara tersebut dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Langkah tersebut bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH secara menyeluruh dan bersepadu.

Beliau turut menangkis tohmahan kononnya beliau seorang yang liberal, tunduk kepada DAP dan ingin merosakkan akidah umat Islam.