Input your search keywords and press Enter.

Bekerja Dari Rumah Mampu Menyelamatkan Nyawa

e

Suka atau tidak kita sudah berada dalam era di mana musuh kita adalah entiti yang kita tak dapat lihat atau sentuh. Kuasa Allah yang menguasai sekalian alam siapa boleh lawan kan? Bila Allah nak uji hambanya, didatangkan wabak Covid-19 yang menakutkan namun tidaklah dapat dilawan dengan bermacam-macam teknologi yang kita ada pada hari ini. Dan musuh yang kita nak lawan ni adalah musuh sejagat pula tu. Memang jarang-jarang lah kita lihat satu dunia berperang dengan musuh yang sama. Begitulah hebatnya kuasa Allah untuk kita insafi dan ambil iktibar serta pedoman.

Tapi semua dugaan ni bukanlah tak ada penyelesaiannya. Sedangkan semua penyakit pun ada penawarnya kecuali mati kan. Maka setelah setahun kita bergelut dengan wabak ini, kita telah temui salah satu cara untuk kekal selamat dari dijangkiti penyakit ini. Selain dari pengambilan vaksin, kita disarankan untuk hanya duduk di rumah untuk kekal selamat. Bayangkanlah betapa mudahnya kita nak kekang penyakit ni. Bukan nak suruh belanja juta-juta untuk selamatkan diri, hanya dengan duduk di rumah sahaja. Sungguh mudah sekali. Tu yang tak paham bila ada lagi rakyat yang gemar bersiar-siar di luar siap angkut anak beranak dan bayi kecil ke shopping mall!

Tak semua yang suka membahayakan nyawa dengan keluar ke sana ke sini semasa pandemik ni. Ada ramai juga yang dah setahun mengamalkan lockdown kendiri tanpa disuruh dan dipaksa oleh kerajaan. Kita memang harus puji mereka yang tahu menghargai nyawa diri sendiri dan keluarga dengan duduk di rumah walaupun punggung dah kematu. Sekarang pun KKM sudah mula menyarankan rakyat untuk mengamalkan lockdown kendiri ni sementara kita tunggu keputusan kerajaan untuk mengetatkan lagi PKP 3.0 ni.

Dah setel tentang rakyat mari kita bercakap tentang majikan pula. Buat masa sekarang, kerajaan telah mewajibkan hanya 30% pekerja ke pejabat tak kira dari sektor swasta dan juga awam. Tapi masih ada lagi di sektor swasta ni yang degil mahukan 100% kedatangan dari pekerja. Kalau ada yang macam ni memang kita perlu report ke pihak berkuasa baru ada akal sikit majikan yang tamak haloba pentingkan keuntungan saja ni. Sebenarnya kebanyakan kerja yang ada sekarang semuanya boleh dilaksanakan di rumah. Kita ada bermacam-macam apps dan system yang boleh memantau pekerja dari mana-mana sahaja untuk pastikan KPI pekerja tercapai.

Majikan seharusnya menyahut seruan untuk mewajibkan bekerja dari rumah ini untuk keselamatan pekerja dan syarikat. Bayangkan dengan hanya seorang pekerja yang dijangkiti Covid ni mampu untuk menjangkiti beratus-ratus malah beribu-ribu pekerja yang lain. Tak ke haru kalau macam tu? Tak pasal-pasal majikan kena keluar duit untuk saringan dan penutupan premis pekerjaan. Dengan kerja dari rumah, majikan tak perlu lagi risau akan keselamatan dan produktiviti syarikat pun akan maintain macam biasa.

Sifirnya mudah sahaja. Nak selamat duduk sahaja di rumah. Memandangkan keadaan Covid negara semakin kritikal, majikan seharusnya membenarkan pekerja mereka untuk bekerja dari rumah. Adakah majikan mahu menjadikan ofis mereka tempat penghasilan mutasi virus Covid ni dan mengancam keselamatan semua orang? Kata nak jadi negara maju maka mindset dan pemikiran pun kenalah seiring dengan peningkaan teknologi. Ini adalah masa yang sangat sesuai untuk kita menggunapakai dan mengerahkan teknologi yang ada ke tahap maksimum untuk kemaslahatan rakyat Malaysia.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update