Input your search keywords and press Enter.

‘Tiada kes sekeluarga mati akibat COVID-19 di Taman Merdeka’

M Update, 27/05/2021 – Polis menafikan terdapat kejadian satu keluarga meninggal dikaitkan dengan COVID-19 di Taman Merdeka, di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata sehingga petang ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian seperti yang tular di laman sosial.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kes kematian seperti didakwa. Jadi, kita menafikan kejadian itu berlaku di daerah Melaka Tengah,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial gambar dan video pendek berdurasi 20 saat yang memaparkan beberapa petugas lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) mengangkat mayat ke dalam trak polis.

Gambar dan video itu dikaitkan dengan kejadian kononnya satu keluarga dikatakan sedang menjalani kuarantin di rumah dan mereka tiada simptom, tetapi tidak hadir untuk janji temu dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum petugas ke rumah terbabit dan menjumpai keluarga itu sudah meninggal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran ramai.

Keadaan ini boleh wujudkan suasana panik dalam kalangan masyarakat, selain ia juga satu kesalahan jika didapati bersalah. – BH Online