Input your search keywords and press Enter.

Tidak Gentar! Bekas Polis Usia Lebih 100 Tahun Selamat Divaksin

Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Arifin Deris tidak melepaskan peluang mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 hari ini.

Beliau yang pernah bertugas ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu dan kini dikatakan berusia 110 tahun berkata, pengambilan vaksin itu dibuat atas kesedaran bahawa ia sangat penting bagi melindungi diri memandangkan wabak itu belum menunjukkan akan berakhir dalam masa terdekat.

“Saya sendiri yang mahu ambil vaksin ini, tidak ada sesiapa yang paksa. Lagipun ini adalah untuk kebaikan semua, melindungi kita daripada ancaman penyakit ini. Proses pendaftaran juga mudah, semua diuruskan Ketua Kampung Tanjung Buluh, Mohamad Najid Abu dan hari ini saya terima (dos pertama) vaksin,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Menurut rekod pada kad pengenalannya, Ariffin yang menetap di Kampung Kerambit di sini berusia 99 tahun tetapi dia menyatakan terlewat 12 tahun mendaftar kad pengenalan. Beliau yang menerima sijil penghargaan ketika Sambutan Hari Polis Ke-214 Peringkat Pahang pada Mac lalu tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan masih mempunyai daya ingatan yang baik.

“Sepatutnya kita kena ambil vaksin kerana ini adalah untuk keselamatan kita, tidak perlu takut dengan pelbagai khabar angin mengenai kesan sampingan selepas menerima suntikan. Dari awal saya tahu akan terima vaksin, tidak rasa takut pun, bahkan lepas dapat suntikan saya rasa sangat bersemangat dan bertenaga,”katanya.

Sementara itu, Mohamad Najid memaklumkan pihaknya mengedarkan borang pendaftaran vaksin secara manual kepada penduduk kampung berkenaan sejak awal bulan lalu. Katanya, kaedah ini lebih mudah untuk mengenal pasti penduduk yang mendaftar sekali gus memudahkan proses pendaftaran mereka selain melalui aplikasi MySejahtera.

Usaha (pendaftaran secara manual) ini adalah hasil inisiatif Pejabat Daerah dan mendapat sokongan semua pihak, termasuk kerajaan negeri,” katanya yang memaklumkan kira-kira 80 peratus penduduk kampung terbabit sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19. Kosmo Online