Input your search keywords and press Enter.

Suntikan Vaksin Covid-19 Percuma, Tiada Bayaran!

M Update, 25/06/2021 – Semua suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia.

Perkara itu ditegaskan Menteri Penyelaras PICK yang mengingatkan tiada bayaran boleh dikenakan kepada orang ramai yang pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikendalikan pengamal perubatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan sesiapa yang menawarkan pembelian vaksin dan sebaliknya untuk terus melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Dipercayai kenyataan itu ada kaitan dengan penahanan tiga individu dalam serbuan berasingan di Putrajaya dan Brickfields di sini, selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penawaran penjualan vaksin Covid-19.

Suspek, dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 hingga 50 tahun itu diberkas semalam dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur. – HM Online