Input your search keywords and press Enter.

Sarawak Lanjutkan Fasa Pertama Kawalan Pergerakan

M Update, 28/06/2021 – Sarawak melanjutkan Fasa Pertama Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara berikutan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini yang masih tinggi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dalam kenyataan semalam bagaimanapun tidak menyatakan tempoh lanjutan itu. Kes positif di Sarawak berada pada paras 500 kes sehari sejak bulan lalu yang mana hari ini 513 jangkitan baru dilaporkan.

“Berikutan kes COVID-19 yang masih tinggi, JPBN yang bermesyuarat semalam bersetuju melanjutkan sekatan pergerakan. Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dikekalkan,” katanya.

Keputusan itu selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Fasa Pertama Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir hari ini tidak akan ditamatkan malah akan diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dikuatkuasakan di Sarawak bermula 29 Mei hingga 11 Jun lalu, namun kemudian diselaraskan tempoh PKP seluruh negara hingga 14 Jun. Sarawak kemudian mengikut langkah Kerajaan Persekutuan apabila melanjutkan PKP dalam tempoh 14 hari lagi bermula 15 Jun hingga hari ini. – BH Online