Input your search keywords and press Enter.

60,000 Orang Mohon Bantuan Ebit Lew Seluruh Malaysia

Foto : FB Ebit Lew

Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mendedahkan seramai 60,000 permohonan untuk mendapatkan bantuan telah diterimanya dari seluruh negara.

Ebit yang kini masih menjalani kuarantin di sebuah hotel di ibu kota berkata, dia kini tidak sabar untuk membantu mereka yang memerlukan di luar sana.

“Doakan ya. Tidak sabar hendak bantu semua yang memerlukan di Malaysia. Sayu sangat rasa, tengok orang tinggal bawah jambatan dan tepi jalan. Terpaksa tinggal dalam stor. Ada yang kelaparan.

“Kurang daripada sehari saja buka bantuan di seluruh negeri sudah ada 60 ribu orang mohon bantuan seluruh Malaysia,” tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima bertubi-tubi panggilan telefon dan mesej WhatsApp masuk menerusi 15 talian nombor sehingga terpaksa memilih mengikut urutan dan siapa yang lebih memerlukan.

“Maafkan saya ya. Saya hari-hari doa buat semua moga Allah buka jalan dan bantu. Allah pulihkan negara kita. Saya ingin menjadi sebahagian kecil dari banyak usaha orang lain,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua kru dan pasukan di seluruh Malaysia dan memaklumkan pihaknya ada menyediakan 22 bank makanan di semua cawangan kedai ElewsMart.

“Jangan segan cuma maklumkan pada staf di @elewsmart. Setiap hari tanpa cuti. Semoga menjadi asbab kebaikan,” ujarnya.

Sumber : Facebook Ustaz Ebit Lew