Input your search keywords and press Enter.

Kadar Vaksinasi Negara Antara Terpantas Di Dunia

M Update, 04/08/2021 – Malaysia mengatasi beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Singapura, Jepun, Korea Utara termasuk Kesatuan Eropah (EU) dari segi kepantasan pemberian vaksin COVID-19 bagi setiap 100 penduduk.

Berikutan itu, pakar kesihatan awam menyifatkan Malaysia berada di landasan tepat untuk memastikan liputan penuh pemberian vaksin COVID-19 dengan kadar melebihi setengah juta dos sehari pada masa ini.

Peningkatan kadar vaksinasi COVID-19 di Malaysia itu turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila menerima pujian menggalakkan daripada isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.

“Ini juga adalah kadar semasa di USA (Amerika Syarikat), tapi USA mempunyai jumlah penduduk yang 10 kali ganda daripada M’sia (Malaysia). Go, go, go!,” dalam kemas kini di akaun Facebooknya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam mesej di Facebook sebelum ini berkata sejak 12 Julai lalu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.

“Sukacita saya juga ingin mengumumkan (sehingga 23 Julai) bahawa seramai 46.7% daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8% pula telah mendapat dos yang penuh,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu selari dengan sasaran yang ditetapkan dan sudah semestinya perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berkata prestasi vaksinasi negara menerusi PICK berada di landasan tepat didorong pencapaian lebih setengah juta suntikan pelalian itu sehari. Beliau menyifatkan pencapaian itu adalah momentum baik yang perlu dikekalkan atau boleh ditingkatkan untuk memastikan lebih ramai orang memperoleh manfaat suntikan vaksinasi.

Saya berpendapat program vaksinasi negara adalah yang terbaik di dunia. Jika kita dapat mengekalkan dan menambah lagi kadar vaksinasi harian, ya, saya berpendapat kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok dalam beberapa bulan lagi. Melalui strategi misalnya seperti operasi lonjakan kapasiti, vaksinasi secara walk in dan sebagainya secara langsung mempercepatkan kadar pemberian vaksin. Boleh dilihat, kadar yang kita capai sekarang iaitu lebih setengah juta sehari adalah cukup baik.

“Ya, ‘diplomasi vaksin’ juga pada saya membantu memperhebat program vaksinasi negara. Pada saya, selagi vaksin yang diperoleh (dari negara luar) selamat dan berkesan, sudah semestinya ia akan membantu,” katanya.

“Saya berasakan bahawa jawatankuasa vaksin kebangsaan menjalankan tugas yang cukup bagus dengan meneruskan usaha mereka melaksanakan tanggungjawab dalam situasi terbabit,” ujarnya.

Berdasarkan perangkaan diterbitkan Our World in Data, purata vaksinasi bagi setiap 100 individu di Malaysia adalah 1.65 setakat semalam. Data itu menunjukkan kadar vaksinasi negara ketika ini jauh lebih tinggi daripada kadar kemuncak pemberian vaksin COVID-19 di negara lain termasuk di AS dan UK yang lebih awal memberikan pelalian itu.

Pemberian vaksin harian Malaysia kini 1.65, berbanding Turki (1.50), Singapura (1.49), Korea Selatan (1.22), Jepun (1.11), AS (1.01), EU (0.92) dan UK (0.89) Malah, jumlah direkodkan Malaysia ketika ini jauh lebih pantas berbanding jumlah pemberian vaksin tertinggi di AS iaitu hanya 1.01 yang dicatat pada 13 April lalu. – BH Online